58 orang terima sumbangan derma

58 orang terima sumbangan derma

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 29 Sept – Seramai 58 orang yang terdiri daripada keluarga yang kurang berkemampuan dan anak-anak yatim Kampung Sungai Teraban, hari ini, menerima sumbangan derma pada majlis anjuran Majlis Perundingan Kampung (MPK) Sungai Teraban sempena Hari Raya Aidiladha tahun ini, yang berlangsung di Masjid Kampung Sungai Teraban, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis petang tadi ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara yang juga selaku Ketua Kampung Mumong, Yang Berhormat Haji Mohd Yusof bin Dulamin dan Ketua Pegawai Hal Ehwal Ugama Daerah Belait, Haji Asminan bin Haji Chuchu yang turut menyempurnakan penyampaian sumbangan sambil diiringi oleh Ketua Kampung Sungai Teraban, Awang Mohd Mersidi bin Haji Mohd Shara yang juga selaku pengerusi majlis.

Dalam ucapan alu-aluannya, Awang Mohd Mersidi berkata sumbangan ini pada awalnya dihasratkan sebagai sumbangan Hari Raya Aidilfitri namun pelbagai cabaran dan masa yang tidak mengizinkan memutuskan MPK untuk mengadakan acara ini pada hari ini sambil meraikan Hari Raya Aidiladha bersama-sama penduduk kampung.

“Tujuan majlis ini diadakan adalah untuk memupuk semangat keprihatinan penduduk Kampung Sungai Teraban sesama sendiri dan walaupun mereka yang menerima sumbangan berkemungkinan sudah menerima sumbangan daripada Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dan Jabatan Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB), ahli-ahli MPK dan juga penduduk yang lain amat prihatin akan kesusahan yang dirasai dan dialami oleh mereka yang kurang berkemampuan termasuk anak-anak yatim di sini,” jelasnya.

Haji Asminan dan Awang Mohd Mersidi menyerahkan sumbangan derma kepada salah seorang penerima.
Haji Asminan dan Awang Mohd Mersidi menyerahkan sumbangan derma kepada salah seorang penerima.

pg04_150930_d

Justeru itu, menurutnya lagi, MPK berkenaan sentiasa peka mendengar permasalahan penduduk kampung dan menyarankan agar penduduk yang lain saling bantu-membantu sesama yang lain dari segi apa jua yang termampu.

“Hindarkan diri daripada menutup mata dan telinga akan kesusahan mereka ini dan jika terdapat mana-mana penduduk yang kurang berkemampuan mereka bolehlah segera merujuk permasalahan mereka kepada MPK di sini dan InsyaAllah kita akan cuba menolong mereka semampu kita,” ujarnya.

Majlis berkenaan telah diserikan lagi dengan laungan dikir oleh Muslimah Takmir Masjid Kampung Sungai Teraban dan sebelum itu diadakan solat Fardu Asar berjemaah.