58 penghuni selamat, rumah kayu terbakar

Oleh Arissa

 

LAWAS, 12 Okt – Seorang anak damit dan 10 kanak-kanak antara 58 penghuni yang berjaya diselamatkan dalam kejadian kebakaran yang memusnahkan sebuah rumah sewa kayu dua tingkat berhampiran hujung tamu Lawas, di sini, malam semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lawas, Zaki Husin berkata sembilan keluarga kini ditempatkan di Pusat Pemindahan bertempat di Stadium Tertutup Daerah Lawas di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Daerah Lawas.

Jelasnya, kebakaran jam 11:10 malam tadi memusnahkan rumah sewa bertingkat yang mempunyai 10 buah bilik di tingkat atas dan 10 buah bilik tingkat bawah.

Jelasnya berdasarkan maklumat dari penghuni berkenaan kebakaran kemungkinan berpunca dari sebuah bilik yang disewa seorang lelaki warga emas 60 tahun sebelum merebak ke bilik berhampiran.

“Ketika kebakaran berlaku penghuni juga mendengar bunyi letupan dari sebuah bilik sewa terbabit.

“Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan semua penghuni berjaya keluar menyelamatkan diri,” katanya hari ini.

Kesemua penghuni rumah berkenaan katanya tidak sempat menyelamatkan dokumen berharga yang turut musnah dalam kebakaran berkenaan.

Jelasnya seramai 11 anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan Dua, Celica Thomas Midarek bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan jam 11:15 malam.

Selain bomba, anggota polis dan orang awam turut membantu dalam operasi yang ditamatkan jam 2:45 pagi semalam dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.