58 peserta sertai Musabaqah Separuh Akhir Kebangsaan

58 peserta sertai Musabaqah Separuh Akhir Kebangsaan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Feb – Seramai 58 peserta terdiri daripada 37 qari dan 21 qariah menyertai Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan Tahun 1437H/2016M yang akan berlangsung selama tiga hari berturut-turut mulai hari ini hingga Khamis, bertempat di Pusat Dakwah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).

Daripada jumlah tersebut, seramai 48 orang peserta terpilih melalui Musabaqah Peringkat Suku Akhir Kebangsaan yang diadakan di Masjid Rancangan Perumahan Negara Kampung Mentiri manakala 10 peserta lagi terpilih pada Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan 1436H/2015M lepas.

Sementara itu, hanya 25 orang peserta terdiri daripada 16 qari dan 9 qariah yang memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran pada musabaqah hari ini.

Manakala 25 orang lagi peserta akan bertanding esok dan lapan orang pada hari berikutnya.

Salah seorang qari membacakan Surah Al-Mulk.
Salah seorang qari membacakan Surah Al-Mulk.

Majlis pengumuman keputusan dan penyampaian cenderamata akan dilangsungkan pada Khamis, 4 Februari 2016, jam 2 petang di tempat yang sama.

Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan merupakan laluan permulaan dan medan untuk para qari dan qariah negara melangkah ke Peringkat Serantau dan Antarabangsa.

Penganjuran musabaqah ini dihasratkan agar dapat memberikan pendedahan dan galakan kepada qari dan qariah negara ini dalam meningkatkan mutu pembacaan Al-Quran mereka, di samping membuka minda dan minat masyarakat berjinak-jinak dalam mempelajari teknik bacaan yang betul dan lebih teratur.

Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan merupakan projek tahunan KHEU dan diadakan secara berperingkat-peringkat, iaitu Peringkat Zon Masjid; Peringkat Suku Akhir Kebangsaan; Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan; dan Peringkat Akhir Kebangsaan.

ARTIKEL YANG SAMA