580,000 buah rumah bergelap

580,000 buah rumah bergelap

TOKYO, 13 Okt – Tokyo dilanda gangguan bekalan elektrik secara besar-besaran kelmarin yang mengakibatkan 580,000 buah rumah bergelap dan juga beberapa bangunan pejabat kerajaan dan pejabat-pejabat syarikat besar, manakala dua laluan kereta api turut terhenti.

Pegawai berkata, gangguan bekalan elektrik berpunca akibat kebakaran di kemudahan yang dikendalikan oleh Tokyo Electric Power. Punca kebakaran masih belum diketahui.

Rakaman televisyen menunjukkan kepulan-kepulan asap hitam dari tepi jalan yang menghubungkan dengan kemudahan bawah tanah yang dikendalikan oleh firma itu di Bandar Raya Niiza, utara Tokyo.

Polis menerima panggilan mengenai letupan sejurus sebelum 3 petang (0600 GMT), dimana 10 jentera bomba cuba mengawal api kebakaran itu, lapor media tempatan.

Anggota bomba berada di kawasan kejadian di Niiza, wilayah Saitama, berhampiran Tokyo. – AP
Anggota bomba berada di kawasan kejadian di Niiza, wilayah Saitama, berhampiran Tokyo. – AP

Anggota kru bergegas untuk mengawal kuasa di pelbagai tempat di metropolis dan masalah itu berjaya dibaik pulih dalam masa sejam, kata bahagian kemudahan itu. Tiada kecederaan dilaporkan, kata pegawai.

Sesetengah pusat bangunan kerajaan dan pejabat menara pusat bandar, termasuk mercu tanda Marunouchi Building, juga terjejas akibat kejadian itu, kata pegawai.

Dua laluan tren telah ditutup sementara semasa gangguan bekalan elekrtik itu, yang berlangsung selama kurang daripada dua jam. – AFP