5,900 penghijrah diselamatkan

5,900 penghijrah diselamatkan

ROM/LONDON, 8 Jun (AFP) – Armada kapal penyelamat antarabangsa menyelamatkan hampir 5,900 penghijrah daripada bot-bot sudah usang yang membuat pelayaran amat berbahaya menyeberangi Afrika Utara menuju ke Eropah pada Sabtu dan semalam, menurut pengawal pantai Itali.

Kapal perang British, Bulwark membantu menyelamatkan sehingga 1,000 penghijrah, termasuk 10 wanita mengandung, menurut Kementerian Pertahanan.

Pengawal pantai Itali, yang menyelaraskan usaha penyelamatan dari Rom, berkata armada kapal dari British, Sweden, Sepanyol dan Itali serta kapal dagang semuanya dikerahkan bagi membantu 15 bot yang berbeza pada semalam, dan keseluruhannya berjaya menyelamatkan 2,400 orang.

Pada Sabtu lepas, seramai 3,500 penghijrah diselamatkan kira-kira 45 batu nautika dari perairan Libya.

Kebanjiran penghijrah dan pelarian yang berusaha menyeberangi laut lepas untuk menuju ke Eropah dari Afrika kini mencatatkan peningkatan tahun ini dan agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menganggarkan lebih 1,800 orang mati lemas. Kira-kira 800 orang mati lemas serentak di dalam sebuah bit yang karam pada April.

Sebahagian daripada penghijrah yang berjaya diselamatkan armada kapal penyelamat antarabangsa ketika belayar untuk cuba menuju ke Eropah dari Afrika. – Reuters
Sebahagian daripada penghijrah yang berjaya diselamatkan armada kapal penyelamat antarabangsa ketika belayar untuk cuba menuju ke Eropah dari Afrika. – Reuters

Dalam memberikan responsnya, Kesatuan Eropah (EU) memantapkan kehadirannya di Mediterranean, tetapi ia masih mendebatkan bagaimana untuk mengendalikan para pelarian dan penghijrah sebaik sahaja mereka tiba ke pantai.

Kesemua mangsa yang diselamatkan dibawa ke pelabuhan Itali, yang mencetuskan ketegangan di antara kerajaan dan anggota politik tempatan dari parti pembangkang, terutama dari Northern League yang menjalankan dasar anti-penghijrah, yang berkata mereka tidak boleh mengalu-alukan ketibaan lebih ramai penghijrah.