6 buah keluarga terima agihan daging korban

6 buah keluarga terima agihan daging korban

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Sept – Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Brunei Darussalam (AITI) menyemarakkan sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini dengan mengadakan Majlis Korban bagi kakitangannya yang berlangsung di Dewan Seri Kerna, AITI, Anggerek Desa, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Ketua Eksekutif AITI, Pengiran Haji Mohd Zain bin Pengiran Haji Abdul Razak yang turut menyempurnakan pengagihan daging korban.

Majlis turut dihadiri oleh para pegawai dan kakitangan AITI serta mereka yang memerlukan.

Majlis telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, doa selamat dan takbir raya sebelum mendengarkan ceramah keagamaan yang disampaikan oleh penceramah dari Pusat Dakwah Islamiah, Awangku Haji Mohd Norhadi bin Pengiran Haji Bongsu.

Antara salah seorang penerima daging korban pada majlis berkenaan yang disampaikan oleh Ketua Eksekutif AITI.
Antara salah seorang penerima daging korban pada majlis berkenaan yang disampaikan oleh Ketua Eksekutif AITI.

Menurut kenyataan AITI, seekor kerbau telah dikorbankan dan dagingnya diagih-agihkan kepada enam buah keluarga fakir miskin dari kawasan Kampung Pulaie, Kampung Delima Satu, Kampung Jaya Setia dan Kampung Burong Pingai Berakas.

Seramai tujuh kakitangan AITI dan keluarga mereka menyertai ibadah korban berkenaan.

Majlis ini merupakan salah satu aktiviti tahunan AITI dengan matlamat untuk berbuat kebajikan dan melaksanakan tanggungjawab agama di samping memupuk ikatan silaturahim yang lebih erat dalam kalangan kakitangan AITI serta menggalakkan penyertaan dalam aktiviti-aktiviti keagamaan dan kebajikan sosial.