6 cedera dalam letupan komputer riba di lapangan terbang

6 cedera dalam letupan komputer riba di lapangan terbang

MOGADISHU, 7 Mac (AFP) – Enam orang cedera hari ini apabila sebuah komputer riba berisi bom meletup di lapangan terbang di Somalia, kata polis, dalam serangan kedua beberapa minggu kebelakangan yang menyasarkan pesawat udara penumpang.

Bom itu meletup di pusat pemeriksaan di bandar kecil Beledweyne, kira-kira 325km utara Mogadishu, di mana bulan lalu pemberontak Shebab berkaitan Al-Qaeda mendakwa bertanggungjawab atas serangan bom yang mengakibatkan lubang dalam pesawat penumpang itu sejurus selepas berlepas.

“Sebuah komputer riba meledak di kawasan pengimbasan, dan pasukan keselamatan juga berjaya melupuskan dua peranti letupan lain, salah satunya dibubuh dalam mesin pencetak,” kata Leftenan Kolonel Polis Ali Dhuh Abdi memberitahu para wartawan.

“Enam orang cedera, dua daripada mereka adalah anggota polis.”

Letupan pada Isnin itu berlaku di kawasan pemeriksaan tempat pengimbasan keselamatan dilaksanakan sebelum kargo dan beg dimuatkan ke dalam pesawat.

Pusat pemeriksaan keselamatan dikendalikan oleh tentera Kesatuan Afrika dari Djibouti serta pasukan keselamatan kerajaan Somali.

Belum ada yang mendakwa bertanggungjawab atas serangan itu.

ARTIKEL YANG SAMA