6 didakwa letupan bunga api

6 didakwa letupan bunga api

KOLLAM, India, 11 April (AFP)  Polis India berkata hari ini mereka telah memfailkan dakwaan awal ke atas enam orang berhubung letupan besar-besaran semasa pertunjukan bunga api yang tidak dibenarkan yang telah mengorbankan lebih 100 orang dan mengakibatkan ramai yang cedera dengan kebakaran teruk itu.

Ribuan orang telah memenuhi kuil Hindu di negeri selatan Kerala pada malam Sabtu bagi pertunjukan itu apabila percikan bunga api sesat jelasnya jatuh ke atas simpanan stok mercun lain, mencetuskan letupan besar sehingga meruntuhkan bangunan konkrit.

Tiga orang meninggal dunia akibat kecederaan semalam, membawa jumlah kematian akibat bencana itu kepada 109 orang.

Ratusan lagi masih dirawat.

Polis mengatakan mereka sedang menyiasat siapa yang bertanggungjawab meneruskan pertunjukan bunga api itu walaupun pihak berkuasa di daerah Kollam Kerala tidak membenarkan ia dilakukan.

“Satu kes telah didaftarkan kelmarin ke atas enam orang,” kata ketua cawangan jenayah polis Kerala, S.Ananathakrishnan.

“Enam orang telah dinamakan dalam kes itu – tiga dari jawatankuasa kuil, tiga lagi adalah kontraktor bagi pertunjukan bunga api.”

Dakwaan awal ke atas enam orang termasuk homisid salah namun tidak berniat membunuh, katanya.

Keenam-enamnya belum lagi ditangkap. Polis mengatakan seorang berada di hospital dan lima yang lain melarikan diri.

Polis juga mengatakan mereka sedang menyoal siasat lima pekerja kuil yang terlibat dalam melaksanakan pertunjukan bunga api itu.

Mereka belum lagi didakwa pada peringkat ini.

Para saksi memberitahu bagaimana kekuatan letupan telah mengakibatkan kepingan tebal konkrit dan jubin atap terpelanting ke arah khalayak ramai yang sedang panik pada awal pagi hari Ahad.

Ribuan orang telah pergi ke kuil untuk meraikan festival Vishu Kerala, yang menandakan tahun baru Hindu.

ARTIKEL YANG SAMA