6 disyaki curi kabel ditahan

6 disyaki curi kabel ditahan

LABUAN, 18 Ogos – Tindakan pantas polis Labuan berjaya menyelesaikan kes kecurian kabel terbesar setakat ini pada tahun ini membabitkan kabel komunikasi bernilai lebih RM20,000 milik Telekom Malaysia Berhad.

Ketua Polis Labuan Adzhar Othman berkata enam lelaki, kesemuanya penganggur, ditahan berhubung kes kecurian itu masing-masing pada 17 dan 18 Ogos di tempat berlainan di pusat bandar.

“Kami berjaya menyelesaikan kes ini kurang daripada 48 jam sebaik sahaja menerima laporan polis pada 15 Ogos. Kami telah menahan si pelaku yang meraih kira-kira RM11,000 hasil jualan tembaga di kilang besi sekerap di sini,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Adzhar berkata suspek mengakui aktif dalam kegiatan mencuri kabel sejak Jun tahun ini.

Sebuah Perodua Myvi dan sebuah motosikal dipercayai digunakan dalam aktiviti haram itu turut dirampas untuk siasatan lanjut, katanya. – Bernama