6 ekor kerbau dikorbankan

6 ekor kerbau dikorbankan

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Sept – Bagi meraih kelebihan dan ganjaran daripada Allah S.W.T dalam melaksanakan ibadah korban dan akikah, penduduk Kampung Belimbing mengorbankan enam ekor kerbau dalam Majlis Ibadah Korban Sunat dan Akikah di Taman Riadah Tasik Sarubing di kampung itu hari ini.

Pada majlis itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Haji Mohd Roselan bin Haji Mohd Daud, selaku Penasihat Majlis Perundingan Kampung (MPK) Belimbing, mengagihkan daging korban dan akikah kepada 32 orang penerima. Turut hadir ialah Penghulu Mukim Kota Batu, Awang Naim bin Haji Kamis dan Ketua Kampung Belimbing, Haji Gapor @ Haji Mohd Daud bin Karim. Penerima-penerima terdiri daripada 22 orang penerima yang kurang berkemampuan, fakir miskin dan 10 lagi anak-anak yatim.

Selain meraih kelebihan dan ganjaran, majlis tahunan anjuran MPK Belimbing itu juga bertujuan memperingati pengorbanan Nabi Ibrahim A.S dan anaknya, Nabi Ismail A.S. selain mengeratkan perpaduan antara penduduk kampung.

Dato Paduka Haji Mohd Roselan menyampaikan agihan daging korban dan akikah kepada salah seorang penerimanya.
Dato Paduka Haji Mohd Roselan menyampaikan agihan daging korban dan akikah kepada salah seorang penerimanya.