6 kanak-kanak penghijrah Afghan lemas di Turki

6 kanak-kanak penghijrah Afghan lemas di Turki

ISTANBUL, 8 Dis – Kira-kira enam kanak-kanak meninggal dunia hari ini apabila sebuah bot membawa penghijrah Afghanistan karam di perairan Turki semasa ia dalam perjalanan ke Greece, lapor media tempatan.

Pengawal pantai Turki menemui mayat kanak-kanak tersebut, termasuk seorang anak damit, dan mereka masih lagi menjalankan pencarian ke atas dua penghijrah lain yang dilaporkan hilang, menurut agensi berita rasmi Anatolia.

Bot boleh kembung itu karam dibadai ombak dan angin kuat berhampiran bandar Cesme di wilayah barat Izmir, kata Anatolia. Ia jelasnya menuju ke pulau Chios, Greece.

Lapan penghijrah lain, semuanya memakai jaket keselamatan, telah diselamatkan, menurut agensi berita Dogan.

Dalam insiden berasingan, mayat Sajida Ali, kanak-kanak perempuan berusia lima tahun, dihanyutkan ke pantai Cesme kelmarin, kata Dogan.

Pihak berkuasa Turki telah mempertingkatkan usaha untuk menghentikan penghijrah daripada menuju ke Greece selepas Turki dan Kesatuan Eropah mencapai perjanjian untuk menahan kemasukan pelarian ke Eropah pada 29 November. – AFP