6 kursus kesenian, pertukangan dibukakan

6 kursus kesenian, pertukangan dibukakan

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Feb – Pusat Latihan Kesenian dan Pertukangan Tangan, kini membukakan permohonan bagi mengikuti kursus-kursus sepenuh masa yang mereka tawarkan bagi pengambilan ke-38, sesi 2016 hingga 2019.

Bagi sesi ini, sebanyak enam kursus ditawarkan iaitu Kursus Pertukangan Perak, Kursus Anyaman dan Songkok dan Kursus Seni Batik, yang mana ketiga-tiga kursus ini dibukakan bagi lelaki dan perempuan.

Manakala itu, Kursus Seni Ukir/Keris dan Kursus Pertukangan Tembaga hanya dibukakan bagi peserta lelaki sahaja, dan Kursus Tenunan untuk peserta perempuan.

Untuk mengikuti kursus-kursus ini, pemohon mestilah sekurang-kurangnya mengikuti persekolahan peringkat pendidikan menengah atau yang sebanding dengannya.

Syarat-syarat permohonan termasuk hendaklah terdiri daripada rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Penduduk Tetap, berumur 17 tahun ke atas dan memiliki sijil berhenti sekolah.

Hanya pemohon yang termasuk dalam senarai terpilih akan dihubungi untuk menghadiri sesi temu duga dan ujian bertulis.

Kemudian, pemohon-pemohon yang berjaya hendaklah terlebih dahulu lulus pemeriksaan doktor dan penapisan keselamatan sebelum dikehendaki menandatangani surat perjanjian berkursus.

Pemohon-pemohon yang terpilih akan dikehendaki mengikuti latihan sepenuh masa selama tiga tahun dan sepanjang latihan berkenaan, para pelatih akan diberikan elaun bulanan sebanyak $335 sebulan dan pakaian seragam akan diberikan secara percuma.

Sehubungan itu, mereka yang berminat bolehkan mengambil borang permohonan di Bahagian Pentadbiran, atau Penyambut Tetamu di Pusat Latihan Kesenian dan Pertukangan Brunei, Jalan Residency, Bandar Seri Begawan.

Sebarang pertanyaan bolehlah menghubungi talian 2240676, 2226178, 2228171 atau e-mel supkesenian@yahoo.com atau Faks 2241909.

Borang permohonan yang telah dilengkapkan hendaklah dihantar terus kepada Penyambut Tetamu, Pusat Latihan Kesenian dan Pertukangan Tangan pada waktu pejabat dan tidak lewat daripada 23 Mac 2016 sebelum jam 4 petang.

ARTIKEL YANG SAMA