6 mangsa keracunan?

KUALA BELAIT, 10 Januari 2003 – Belum habis seminggu sesi persekolah tahun ini bermula, enam orang murid tadika sebuah sekolah di sini sudah terlantar di hospital akibat keracunan makanan – dipercayai dari sekolah.

Keenam-enam orang murid berusia sekitar lima dan enam tahun dari kelas tadika satu merah di sekolah itu dimasukkan ke Hospital Suri Seri Begawan dekat sini untuk menerima rawatan lewat petang semalam.

Mereka dikatakan mengalami cirit-birit dan muntah-muntah setelah pulang dari sekolah tengah hari kelmarin.

Ibu bapa dua orang kanak-kanak itu ketika ditemui hari ini berkata mereka hanya menyedari perkara itu ketika anak mereka mengadu sakit perut dengan muka pucat setelah sampai di rumah tengah hari kelmarin. Tidak lama selepas itu, anak mereka mula muntah-muntah serta cirit-birit lalu terus dibawa ke hospital.

Mereka juga mendakwa kanak-kanak itu mengadu memakan mi goreng di sekolah sewaktu rehat, selain biskut kering dan minuman kotak yang dibekalkan kepada mereka oleh sekolah.

Pegawai Perubatan Hospital Suri Seri Begawan turut mengesahkan kepada Media Permata mengenai kemasukan kanak-kanak itu – empat lelaki dan dua perempuan – untuk mendapatkan rawatan akibat sakit perut dan muntah-muntah.