6 maut, 23 masih hilang

6 maut, 23 masih hilang

BEIJING, 30 Sept – Enam orang dilaporkan mati dan sekurang-kurangnya 23 orang masih hilang selepas dua kejadian tanah runtuh yang dicetuskan oleh taufan utama melanda beberapa kampung secara berasingan di tenggara China, lapor media.

Tanah runtuh Rabu di wilayah Zhejiang, selatan Shanghai, mengesahkan terdapat tiga kematian, manakala pasukan penyelamat dan anjing pengesan terus mencari mangsa hari ini.

Pihak berkuasa di Kampung Sucun berkata lewat semalam bahawa lebih daripada 20 orang masih hilang. Video yang diterbitkan oleh Agensi Berita rasmi Xinhua menunjukkan air akibat banjir itu menghanyutkan batu-batu dan serpihan ke bawah gunung dan ke dalam dusun.

“Saya mendengar bunyi yang kuat dan bergegas keluar,” kata seorang penduduk kampung, Zheng Quanwei, memberitahu Xinhua. “Ia semakin gelap, tetapi saya dapat melihat beberapa buah rumah runtuh di lereng bukit.”

Anggota penyelamat ketika berada di tapak tanah runtuh kelmarin. – Xinhua
Anggota penyelamat ketika berada di tapak tanah runtuh kelmarin. – Xinhua

Akhbar berita rasmi China itu juga berkata, tanah runtuh melanda Sucun pada kira-kira 17:30 petang tatkala penduduk kampung sedang menikmati makan malam. Sesetengah daripada mereka bergegas untuk membantu jiran yang terperangkap, sementara yang lain dengan tabah mengatur langkah ke gunung mencari tempat selamat yang lebih tinggi dan tanah yang lebih kukuh.

Kira-kira 20 buah rumah telah ditenggelami oleh kejadian tanah runtuh itu, dan lebih daripada 1,400 orang penduduk terpaksa dipindahkan.

Para anggota kekal di tempat kejadian di Sucun dan di tapak tanah runtuh yang berasingan di Daerah Wencheng, Xinhua melaporkan.

Taufan Megi membawa hujan lebat dan angin kencang ke bahagian tenggara China dan Taiwan, memusnahkan beratus-ratus rumah dan menutup lapangan terbang dan landasan kereta api. Lima orang terbunuh akibat jatuh dan kejadian lainnya. – AP