6 maut dalam kemalangan

6 maut dalam kemalangan

SARIKEI, 3 Jun – Tiga beranak maut selepas kereta yang dinaiki mereka hilang kawalan lalu merempuh sebuah treler di KM427 Jalan Betong/Sarikei/Meradong, dekat sini, pagi ini.

Pemandu kereta Deraman Anak Unggu, 29, bersama is-terinya Jennifer Anak Charlie, 32, dan anak perempuan mereka yang hanya dikenali sebagai Bibi, 9, yang duduk di tempat penumpang belakang, maut da-lam kejadian kira-kira pukul 9:30 pagi itu.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Farhan Sufyan Borhan berkata ketiga-tiga mangsa tersepit di tempat duduk masing-masing, dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan.

Ketua Polis Daerah Sarikei, DSP Mat Jusoh Muhammad memberitahu pemberita, berdasarkan siasatan awal, kereta dipandu Deraman yang dalam perjalanan ke Sarikei dikatakan hilang kawalan sebelum berlanggar dengan treler yang datang dari laluan bertentangan.

“Kemalangan itu juga mengakibatkan pemandu treler berkenaan cedera parah. Semua mayat dihantar ke Hospital Sarikei untuk bedah siasat dan kedua-dua kenderaan dibawa ke IPD Sarikei untuk pemeriksaan PUSPAKOM. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, dalam satu lagi kemalangan di Mukah semalam, tiga beranak maut dan seorang lagi cedera parah apabila motosikal yang mereka tunggang dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipercayai hilang kawalan di Jambatan Kuning Kilometer 5 Jalan Mukah-Balingian.

Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Jimmy Panyau berkata mereka yang terbunuh ialah penunggang motosikal Mohamad Adika Sudin, 27, isterinya Jaifa Mohamad, 27, dan anak lelaki mereka, Mohamad Aniq Yuzri, 7 tahun.

Menurutnya anak perempuan pasangan tersebut Fifi Nurlyana Safina, 6, pula cedera parah.

Beliau berkata kemalangan itu berlaku kira-kira pukul 9:30 malam apabila kereta MPV yang datang dari arah Balingian menghala ke Mukah dipercayai hilang kawalan sebelum mema-suki laluan bertentangan dan merempuh motosikal tersebut.

Jimmy berkata akibat rempuhan tersebut, pasangan suami isteri bersama dua anak mereka tercampak di bahu jalan, dan Jaifa maut di tempat kejadian manakala Mohamad Adika dan anak lelakinya meninggal dunia di Hospital Mukah.

Beliau berkata pemandu MPV berkenaan, seorang lelaki berusia 37 tahun hanya cedera ringan, dan kes disiasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Bernama