6 maut, lebih 100 cedera protes di Mexico

6 maut, lebih 100 cedera protes di Mexico

OAXACA, Mexico, 20 Jun (AFP) – Lelaki bersenjata yang tidak dikenali melepaskan tembakan tatkala polis dan guru bertempur di selatan Mexico semalam ketika satu bantahan yang mengakibatkan enam orang terbunuh dan lebih 100 cedera, kata pihak berkuasa.

Keganasan meletus tatkala polis melontar gas pemedih mata pada pembantah untuk menamatkan sekatan selama seminggu yang menghadang sebatang jalan di Asuncion Nochixtlan, sebuah bandar di negeri Oaxaca, di mana beberapa kenderaan dibakar.

Kesatuan Penyelaras Pekerja Pendidikan Nasional (CNTE) telah memimpin bantahan di Oaxaca selama beberapa hari terhadap pembaharuan pendidikan dan penahanan dua pemimpin mereka.

Suruhanjaya Keselamatan Nasional pada mulanya menafikan bahawa pegawai bersenjata, mendakwa gambar berita yang menunjukkan mereka dengan senapang adalah “palsu.”

Namun ketua polis persekutuan Enrique Galindo berkata selepas itu bahawa satu unit bersenjata dihantar selepas orang yang tidak dikenal pasti “melepaskan tembakan ke arah polis dan penduduk.”

Polis Persekutuan Mexico bertempur dengan guru-guru semasa satu protes membantah reformasi pendidikan dan penangkapan dua ketuanya, di negeri Oaxaca. Sekurang-kurangnya enam maut dan berpuluh-puluh lagi cedera apabila polis bertempur dengan beribu-ribu guru yang menghalang jalan di selatan Mexico semalam. – AFP
Polis Persekutuan Mexico bertempur dengan guru-guru semasa satu protes membantah reformasi pendidikan dan penangkapan dua ketuanya, di negeri Oaxaca. Sekurang-kurangnya enam maut dan berpuluh-puluh lagi cedera apabila polis bertempur dengan beribu-ribu guru yang menghalang jalan di selatan Mexico semalam. – AFP

“Guru-guru tidak terbabit dalam kejadian berkenaan,” kata Galindo pada persidangan akhbar. “Terdapat laporan tentang kehadiran beberapa kumpulan ganas yang telah mengetuai sekatan jalan raya dan tempat strategik selama beberapa hari,” kata kerajaan persekutuan dan negeri dalam satu kenyataan bersama, menggesa CNTE supaya menjauhkan dirinya daripada kumpulan yang tidak dikenal pasti berkenaan.

Enam orang yang terbunuh adalah orang awam, kata setiausaha keselamatan awam negeri Oaxaca Jorge Alberto Ruiz Martinez.

Seramai 55 pegawai persekutuan dan negeri mengalami kecederaan, termasuk lapan akibat luka kena tembak, kata Ruiz Martinez. Sekurang-kurangnya 53 orang awam cedera.