6 pasukan bersaing rebut juara

6 pasukan bersaing rebut juara

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Feb – Enam pasukan yang mara ke pusingan kedua Liga Bolasepak Daerah Brunei dan Muara 2015 sudah pun diketahui iaitu MSN United FC, IKERAB FT, Al-Idrus Junior FT, Seri Bolkiah FC, DSP United FC dan Plan Batu.

Sehubungan dengan itu, Majlis Mesyuarat Pengurus-pengurus Pasukan bagi enam pasukan berkenaan telah pun diadakan bagi membincangkan mengenai format pusingan kedua dan seterusnya bagi liga anjuran Pertubuhan Bolasepak Daerah Brunei dan Muara (PBDBM) itu.

Mesyuarat di Restoran Harini, Stadium Negara Hassanal Bolkiah berkenaan telah dipengerusikan oleh Setiausaha Agung PBDBM, Haji Abdul Razak bin Haji Ibrahim.

Hasil daripada mesyuarat itu, pusingan kedua liga akan dijalankan secara sistem kalah mati (knock out) dengan mempertemukan pasukan juara dan naib juara daripada kumpulan yang berbeza.

Pusingan kedua Liga Bolasepak Daerah Brunei dan Muara 2015 akan bermula malam ini (Isnin, 29 Februari) dengan perlawanan di antara juara Kumpulan C, DSP United FC dan naib juara Kumpulan B, Seri Bolkiah FC, bermula pukul 8:00 malam di Kompleks Sukan Sungai Kebun (KSSK).

Haji Abdul Razak ketika mempengerusikan Mesyuarat Pengurus-pengurus Pasukan Liga Bolasepak Daerah Brunei & Muara 2015 berkenaan
Haji Abdul Razak ketika mempengerusikan Mesyuarat Pengurus-pengurus Pasukan Liga Bolasepak Daerah Brunei & Muara 2015 berkenaan

Perlawanan kedua pusingan kedua berkenaan dijadualkan berlangsung esok (Selasa, 1 Mac), juga bermula pukul 8:00 malam di KSSK yang mempertemukan naib juara Kumpulan A, IKERAB FT dengan juara Kumpulan B, Al-Idrus Junior FT.

Perlawanan terakhir pusingan kedua pula adalah di antara naib juara Kumpulan C, Plan Batu dengan juara Kumpulan A, MSN United FC, yang dijadualkan berlangsung lusa (Rabu, 2 Mac) di KSSK, pada pukul 8:00 malam.

Selepas tiga perlawanan pusingan kedua itu selesai dijalankan, tiga pasukan yang menang dalam fasa kalah mati itu akan mara ke pusingan akhir dan berentap dalam ‘Liga Satu Pusingan’ (Round Robin) bagi menentukan pasukan mana yang layak bergelar juara, naib juara dan tempat ketiga.