6 pelajar ke Jepun hadiri sidang Hari Tsunami Sedunia

6 pelajar ke Jepun hadiri sidang Hari Tsunami Sedunia

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Nov – Seramai enam penuntut dan seorang guru dari Pusat Tingkatan Enam Meragang (PTEM) berlepas ke Jepun hari ini bagi menghadiri Sidang Kemuncak Penuntut Sekolah Tinggi bagi Hari Kesedaran Tsunami Sedunia yang akan diadakan di Jepun bermula esok hingga 29 November ini.

Mereka terdiri daripada Dayangku Nur Hidayatul Hafizah binti Pengiran Dato Paduka Haji Othman; Dayang Nurul Wafaa’ Syahira binti Haji Jufri, Dayang Irdina Batrisyia binti Dr Adam, Awang Muhammad Hanafi bin Rosli, Awang Muhammad Yasrin bin Yahya, Dayang Nur Zaliqah@ Siti Fatimah binti Ahmad dan Wallace Chong Wei Xiang.

Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei untuk mengucapkan selamat belayar ialah Pengetua PTEM, Pengiran Hajah Maimunah bin Pengiran Haji Osman, guru-guru PTEM, pegawai dari Kementerian Pendidikan, pegawai dari Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam serta ibu bapa dan keluarga para ahli rombongan.

Rombongan PTEM itu dipilih oleh Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam dan Kementerian Pendidikan. Mereka bukan sahaja akan mempelajari dan diberikan pendedahan kepada kaedah untuk mengurangkan serta mencegah risiko bencana tetapi juga akan menghadiri Sidang Kemuncak Penuntut Sekolah Tinggi bagi Hari Kesedaran Tsunami Sedunia yang akan diadakan di Kuroshio, Wilayah Kochi, Jepun bermula 25 hingga 26 November.

Program itu bermatlamat untuk memupuk pemimpin yang bakal bertanggungjawab bagi mengurangkan kesan daripada kejadian bencana alam seperti gempa bumi dan tsunami serta membangunkan ketahanan negara kepada kejadian bencana alam berkenaan di masa akan datang.

Pengiran Hajah Maimunah (kiri) bergambar ramai dengan rombongan penuntut dan guru dari Pusat Tingkatan Enam Meragang yang berlepas ke Jepun.
Pengiran Hajah Maimunah (kiri) bergambar ramai dengan rombongan penuntut dan guru dari Pusat Tingkatan Enam Meragang yang berlepas ke Jepun.

Para penuntut akan berpeluang untuk mempelajari mengenai sejarah bencana alam yang melanda Jepun seperti tsunami dan kerja-kerja pemulihan serta pembangunan semula selepas kejadian gempa bumi di negara berkenaan.

Selain itu, mereka juga akan mempelajari mengenai usaha Jepun untuk mengurangkan dan mencegah risiko kejadian bencana termasuk persediaan yang diambil oleh negara berkenaan dalam menangani gempa bumi palung Nankai.

Semasa di Jepun, mereka akan membuat perbincangan mengenai cabaran dan pembangunan di negara masing-masing termasuk pandangan mereka mengenai ancaman tsunami dan gempa bumi serta langkah-langkah yang diambil untuk mencegah bencana.

Para penuntut program berkenaan juga akan mengadakan lawatan ke Wilayah Miyagi dan Wilayah Wakayama untuk mengadakan kajian dan lawatan sambil belajar bersama penuntut-penuntut Jepun untuk mempelajari mengenai pengurangan serta pencegahan bencana.

Manakala itu, para penuntut Brunei juga akan menyertai penuntut-penuntut sekolah tinggi dari 30 buah negara untuk menghadiri sidang kemuncak sekolah tinggi yang membawa tema ‘Apa kita, generasi akan datang, boleh lakukan untuk terus bertahan daripada bencana semula jadi dari sudut pandangan membantu diri, kerjasama dan bantuan awam.’

Mereka juga akan mengambil bahagian dalam kegiatan menanam pokok di hutan pencegahan bencana sebagai sebahagian daripada kegiatan yang diadakan semasa sidang kemuncak berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA