6 pelajar KUPU SB berlepas ke Indonesia

6 pelajar KUPU SB berlepas ke Indonesia

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Sept – Enam pelajar Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), hari ini, berlepas ke Indonesia bagi menjalani Program Pengajian Luar Negara dan Pertukaran Pelajar di Universiti Islam Negeri Alauddin Makassar, Indonesia.

Program tersebut disertai oleh para pelajar tahun dua dan tiga dalam bidang Usuluddin dan Syariah, yang mana Dayang Nor’ain binti Abdul Rahim, Dayang Nurul Azimah binti Yahya dan Dayang Nurul Majeedah binti Haji Rosli terpilih untuk mengikuti Program Pengajian Luar Negara manakala itu Awang Abdul Wafi bin Haji Abdul Rahman, Awang Mohd Hariz bin Shahdun dan Awang Mohd Waiz bin Tajuddin mengikuti Program Pertukaran.

Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar kepada rombongan berkenaan ialah Dekan Fakulti Syariah Dr Hajah Noor Hira binti Haji Mohd Kaseh.

Program-program ini merupakan aktiviti atau kriteria bagi memenuhi Perjanjian Persefahaman (MoU) KUPU SB dengan universiti di luar negara, di mana pelajar yang mengikuti Program Pengajian Luar Negara itu akan menjalani pengajian selama setahun manakala pelajar Program Pertukaran akan menjalani pengajian selama enam bulan di universiti berkenaan.

Gambar ramai para pelajar bersama Dr Hajah Noor Hira di ruang berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.
Gambar ramai para pelajar bersama Dr Hajah Noor Hira di ruang berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.

ARTIKEL YANG SAMA