6 pelajar sertai Olimpiad Sains

6 pelajar sertai Olimpiad Sains

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Nov – Enam orang pelajar Tahun 6 dari beberapa buah sekolah rendah di negara ini telah berlepas ke Indonesia dengan diiringi tiga pegawai pengiring bagi menyertai Olimpiad Matematik dan Sains Antarabangsa ke-13 yang bermula hari ini hingga 13 November depan.

Berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar seterusnya memberi kata-kata semangat kepada para pelajar berkenaan ialah Pemangku Ketua Pusat Kerjasama Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (STEP), Dayang Sarimah binti Abu Bakar.

Ketua rombongan berkenaan, Hajah Normimah binti Haji Abu Bakar ketika ditemu bual menjelaskan, penyertaan negara ke pertandingan ini bermula pada tahun 2004 dan setakat ini, pencapaian pelajar-pelajar negara tidak menghampakan di mana beberapa pingat telah diperolehi dalam pertandingan ini.

“Ini menunjukkan pencapaian pelajar negara dalam pertandingan seumpama ini adalah setanding dengan pencapaian pelajar luar negara,” tambahnya.

Ketika menyentuh mengenai persiapan yang dibuat, katanya, ia dibuat dalam masa yang singkat disebabkan pelajar yang menyertai dalam pertandingan ini terdiri daripada pelajar Tahun 6 dan tumpuan pertama diberikan adalah ulang kaji untuk persiapan Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR).

Peserta rombongan bersama Pemangku Ketua Pusat STEP bergambar ramai sebelum berlepas.
Peserta rombongan bersama Pemangku Ketua Pusat STEP bergambar ramai sebelum berlepas.
Dayang Sarimah ketika memberikan kata-kata semangat kepada pelajar yang mewakili negara ke pertandingan itu.
Dayang Sarimah ketika memberikan kata-kata semangat kepada pelajar yang mewakili negara ke pertandingan itu.

“Latihan intensif diberikan kepada para pelajar sebagai persiapan ke pertandingan ini iaitu dengan memberikan nota dan buku-buku soalan yang telah dikeluarkan sebelum ini untuk memantapkan lagi latihan dan ulang kaji mereka di rumah,” tambahnya.

Beliau seterusnya berkata, pelajar yang mewakili negara terdiri daripada pelajar terbaik setelah menjalani peringkat ujian dan penyertaan untuk pertandingan dibuka kepada pelajar sekolah rendah kerajaan dan swasta.

Menurutnya lagi, setelah berjaya memilih enam pelajar terbaik daripada 50 pelajar, Pusat STEP telah menyusun latihan intensif setiap hari dan ini termasuk Jumaat dan Ahad.

Beliau seterusnya berharap dengan latihan-latihan yang diusahakan ini akan dapat membuahkan hasil dengan meraih pingat apabila di sana nanti.

Pertandingan yang akan diadakan di Kota Tangerang, Banten, Indonesia itu membawakan tema ‘Smart, Skilled and Creative in a Joyful Competition for Excellence’.

Kementerian Pendidikan melalui Pusat STEP menghantar rombongan ke pertandingan berkenaan dengan tujuan untuk meningkatkan kecekapan pelajar sekolah rendah dalam matematik dan sains seterusnya memupuk hubungan mesra antara pelajar sekolah rendah.

ARTIKEL YANG SAMA