6 pelajar YSHHB sertai seminar Y.LEAD 2016 di S’pura

6 pelajar YSHHB sertai seminar Y.LEAD 2016 di S’pura

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Julai – Enam orang pelajar dari Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB), pagi tadi, telah berlepas ke Singapura bagi menyertai seminar Y.LEAD 2016 bertema Memimpin Perubahan dalam Dunia VUCA yang akan bermula esok hingga 22 Julai.

Hadir bagi mengucapkan selamat berlepas kepada rombongan pelajar berkenaan yang disertai seorang guru pengawas, Dayang Nur Afiqah binti Haji Sahminan, di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei ialah Penolong Pengarah Urusan YSHHB II, Haji Puasa bin Haji Jumaat; Penolong Pengarah Urusan YSHHB III, Hajah Donnaliza binti Abdullah Puasa; Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif YSHHB, Dayangku Hajah Asiah binti Pengiran Haji Damit dan Pemangku Pengetua YSHHB, Marivic C. Collantes.

Sebanyak 30 buah sekolah akan menyertai seminar berkenaan yang dianjurkan oleh Sekolah Tinggi River Valley, Singapura, yang mana 16 daripadanya adalah sekolah di Singapura dan 14 lagi adalah sekolah Antarabangsa yang dijemput.

Sekolah-sekolah yang ikut serta termasuk dari Jepun, Amerika Syarikat, China, Korea, Malaysia dan Brunei.

Dalam seminar itu nanti, para pelajar akan menjalani program pembangunan kepimpinan watak yang direka oleh Sekolah Tinggi River Valley, Singapura.

Aktiviti yang disesuaikan itu bukan sahaja boleh meningkatkan kualiti kepimpinan para peserta, bahkan memberi peluang untuk membina persahabatan dengan pemimpin-pemimpin pelajar Asia lain, selain itu dapat mempelajari untuk saling menghormati dan memupuk rasa penghargaan, bertanggungjawab, berdisiplin dan bermotivasi. Acara kemuncak dalam seminar itu pula akan memberi peluang kepada pegawai-pegawai kanan perkhidmatan awam, pemimpin-pemimpin industri dan perwakilan organisasi kerajaan berinteraksi dengan para peserta bagi menjelaskan peranan mereka nanti sebagai seorang pemimpin dalam setiap organisasi mereka.

Tambahan lagi, mereka juga akan mengikuti cabaran 15 jam dalam aktiviti memainkan peranan mendalam, di mana peserta dimestikan menggunakan pengetahuan, kemahiran dan proses yang mereka perolehi pada hari-hari sebelumnya bagi merumuskan pelan tindak mereka, menggunakan sumber-sumber yang ada dalam meningkatkan penyampaian (presentation) mereka nanti secara efektif.

Dengan adanya seminar ini, ia dapat membantu para pelajar untuk melengkapkan diri dengan kemahiran kepimpinan secara efektif, menyediakan platform untuk pelajar tempatan dan antarabangsa membangun sebagai seorang pemimpin dan juga menyediakan peluang rangkaian hubungan di antara para pemimpin masa depan bagi kerjasama di antara negara luar.

ARTIKEL YANG SAMA