6 pesalah ditahan dalam Ops Cekup

6 pesalah ditahan dalam Ops Cekup

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Okt – Hasil daripada maklumat dan aduan orang ramai, enam orang warganegara asing termasuk lima orang perempuan telah ditahan baru-baru ini kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen yang mengandungi pas imigresen yang sah dalam satu operasi Ops Cekup yang dijalankan di sebuah rumah dan bilik-bilik sewa di Mukim Kilanas.

Serbuan tersebut dijalankan oleh sepasukan pegawai-pegawai dari Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) yang diketuai oleh Ketua Pegawai Imigresen Kanan.

Menurut JIPK, dalam serbuan di rumah dan bilik sewa pertama, pegawai mendapati tiga orang perempuan warganegara asing duduk berkumpul bersama penghuni lain yang mana ketiga-ketiganya gagal menunjukkan sebarang dokumen yang mengandungi pas Imigresen yang masih sah.

Manakala di rumah sewa kedua, tiga orang warga asing (dua di antaranya adalah perempuan) di bilik yang berasingan juga gagal menunjukkan sebarang dokumen yang mengandungi pas imigresen yang masih sah dan mendapati pas imigresen salah seorang perempuan terbabit telah mansuh selama 510 hari.

Semua mereka ini telah dibawa dan ditahan sementara di Balai Polis Bandar Seri Begawan bagi siasatan lanjut .

Dua orang warga asing yang gagal menunjukkan sebarang dokumen.
Dua orang warga asing yang gagal menunjukkan sebarang dokumen.

Empat keping Pas Khas dikeluarkan ke atas individu terbabit sementara pasport mereka ditahan bagi siasatan dan tapisan lanjut.

Sementara itu dalam satu rondaan kelmarin, sepasukan pegawai JIPK yang diketuai oleh Pegawai Imigresen Kanan telah mendapati seorang lelaki warganegara asing berjaja menggunakan kereta sedang menawarkan barang dagangannya kepada penghuni di salah sebuah rumah di Mukim Pengkalan Batu.

Pegawai bertugas mendapati lelaki terbabit berjaja kain, minyak harum dan kain selimut. Lelaki berkenaan bersama kenderaannya telah pun dibawa ke JIPK. Setelah siasatan lanjut lelaki asing terbabit dikeluarkan Pas Khas sementara ‘buku-buku catatan hutang’ ditahan bagi membantu siasatan.

ARTIKEL YANG SAMA