6 produk kosmetik tercemar

6 produk kosmetik tercemar

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Mei – Kementerian Kesihatan memaklumkan bahawa enam produk kosmetik telah didapati tercemar dengan bahan terlarang yang tidak diisytiharkan berikutan hasil ujian makmal Bahagian Kawalan Mutu Ubat, Perkhidmatan Farmasi.

Produk-produk tersebut ialah DNARS Skincare Normal/Jeragat-Day Cream yang dikilangkan/diedarkan oleh Rohban Trade Sdn Bhd (988565-K), Shah Alam, Selangor, yang didapati dicemari dengan Merkuri; Dnars Skincare Normal/Jeragat-Snow Cream (pengilang/pengedar yang sama) dicemari dengan Hydroquinone dan Tretinoin; Walet 2-in-1 Super Whitening Cream with Herbal Comple (krim berwarna kuning) dan Walet 2 in 1 Super Whitening Cream with Herbal Comple (krim berwarna putih), dikilangkan/diedarkan oleh syarikat Taiwan, yang mana kedua-duanya dicemari dengan Merkuri.

Dua lagi produk ialah Nouvelles Visages-NV Cream AHA & UV (daripada Nouvelle Beauty Centre Sdn Bhd, Kuala Lumpur, Malaysia) dan Tia Amelia-Krim Elvira, dengan kedua-duanya didapati dicemari dengan Hydroquinone.

Produk-produk berkenaan telah didapati melalui aktiviti pemantauan semasa pasaran yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Farmasi di kedai-kedai runcit.

Kementerian Kesihatan dalam kenyataannya, hari ini, menyatakan bahawa bahan-bahan pencemar dalam produk berkenaan boleh mengakibatkan kesan-kesan mudarat yang membahayakan kesihatan.

Dnars Skincare Normal/Jeragat-Day Cream.
Dnars Skincare Normal/Jeragat-Day Cream.
Walet 2-in-1 Super Whitening Cream with Herbal Complex (krim warna kuning dan putih).
Walet 2-in-1 Super Whitening Cream with Herbal Complex (krim warna kuning dan putih).
Tia Amelia-Krim Elvira.
Tia Amelia-Krim Elvira.
Nouvelles Visages-NV Cream AHA & UV.
Nouvelles Visages-NV Cream AHA & UV.

Merkuri adalah bahan yang dilarang dalam produk kosmetik seperti yang ditetapkan di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik) 2007.

Penggunaan Merkuri di dalam produk kosmetik adalah dilarang kerana ia boleh memudaratkan kesihatan. Ia mudah diserap melalui kulit dan mudah untuk berkumpul dalam badan.

Tahap Merkuri yang tinggi atau pendedahan yang kerap boleh menyebabkan kulit kebas, sakit kepala, ruam, perubahan warna kulit serta kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf. Ia juga sangat toksik kepada kanak-kanak yang belum dilahirkan.

Hydroquinone dan Tretinoin pula adalah bahan yang digunakan dalam ubat-ubatan yang memerlukan preskripsi bagi merawat penyakit kulit dan ia dilarang sebagai bahan dalam produk kosmetik penjagaan kulit di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik).

Penggunaan Hydroquinone tanpa pengawasan boleh menyebabkan perubahan warna kulit, hipersensitiviti, bahagian kulit yang disapu menjadi biru-hitam atau gelap serta boleh meningkatan risiko kanser kulit.

Manakala itu, penggunaan tretinoin yang tidak betul boleh menyebabkan kulit yang disapu menjadi kemerahan, mengelupas dan parut pada kulit.

Kementerian Kesihatan turut menekankan bahawa pihak mereka tidak pernah mengeluarkan kebenaran ke atas pengimportan dan mengeluarkan Surat Pengakuan Notifikasi Produk Kosmetik bagi penjualan produk-produk tersebut.

Berikutan dapatan ini, produk-produk berkenaan dilarang untuk diimport dan dijual di Negara Brunei Darussalam.

Orang ramai yang telah menggunakan produk-produk tersebut dinasihatkan untuk memberhentikan pemakaiannya dengan serta merta. Jika mereka mengalami kesan sampingan dan merasa tidak sihat selepas menggunakan produk-produk berkenaan, hendaklah berjumpa doktor dengan segera.

Orang ramai yang terlibat dalam penjualan produk-produk tersebut (termasuk penjualan secara online seperti melalui Facebook dan sebagainya) juga diingatkan bahawa menjadi satu kesalahan di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik), 2007 untuk mengimport dan memasarkan produk kosmetik di pasaran tempatan tanpa Surat Pengakuan Notifikasi Produk Kosmetik yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa di Kementerian Kesihatan, dan jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi $5,000 penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Kementerian Kesihatan juga memohon kerjasama orang ramai untuk melaporkan kepada Bahagian Penguatkuasaan Farmasi jika mendapati produk-produk berkenaan masih dipasarkan di negara ini.

Untuk maklumat lanjut dan perhubungan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Bahagian Penguatkuasaan Farmasi melalui talian 2393298 sambungan 208, menghantar e-mel ke alamat pharmacy.enforcement@moh.gov.bn atau berjumpa terus Pegawai Penguatkuasaan Farmasi di Tingkat 1, Bangunan Perkhidmatan Farmasi, Kampung Madaras, Mukim Gadong A.

ARTIKEL YANG SAMA