6 rumah teres musnah dalam kebakaran

6 rumah teres musnah dalam kebakaran

TAWAU, 19 Jun (Bernama) – Sederet enam unit rumah teres dua tingkat musnah dalam kebakaran di Taman Victoria, Muhibbah di sini menyebabkan kerugian kira-kira RM600,000.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau Mohd Razali Awang Ahmad berkata kebakaran berlaku kira-kira pukul 10 pagi tadi.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 10.08 pagi dan sampai ke tempat kejadian kira-kira 11 minit kemudian. “Seramai 21 anggota dan dua buah jentera dikejarkan ke tempat kejadian dan kami berjaya mengawal kebakaran pada pukul 10.52 pagi.

Kami turut dibantu oleh 11 anggota polis dan empat anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata dengan kecekapan dan kepantasan, pihaknya berjaya menyelamat lima unit rumah yang terletak sederet dengan kebakaran itu, serta 11 lagi unit rumah di blok berhampiran.

Mohd Razali berkata punca kebakaran sedang disiasat.

Sementara itu Pengerusi Rukun Tetangga (RT) Bacho Kallo berkata pihaknya telah bekerjasama dengan Pejabat Unit Pembangunan Masyarakat Merotai bagi membuka tempat pendaftaran mangsa dipusat kawasan RT di taman berkenaan.

“Buat sementara waktu semua mangsa akan ditempatkan di pusat khidmat masyarakat di taman ini,” katanya.