6 saintis harungi simulasi Marikh

6 saintis harungi simulasi Marikh

HONOLULU, 21 Jun (Agensi) – Enam saintis yang tinggal dalam sebuah kubah di cerun gunung berapi tidak aktif di Hawaii selama lapan bulan bagi membiasakan dengan kehidupan di Marikh, keluar daripada pemencilan itu untuk menjalani kehidupan biasa.

Kru simulasi itu yang tinggal dalam kubah terletak kira-kira 2,400 meter di puncak gunung berapi Mauna Loa, menikmati semula udara dan hembusan biasa secara insan biasa buat kali pertama selepas lapan bulan, pada Sabtu. Itulah kali pertama dalam tempoh itu mereka keluar tanpa memakai pakaian angkasa lepas.

Saintis berkenaan adalah sebahagian daripada kajian NASA untuk menilai prestasi manusia bekerja sebagai satu pasukan dalam keadaan yang terpencil dan mencabar. Sepanjang berada dalam kubah itu, saintis berkenaan dipantau menerusi kamera serta dipasang pelbagai peranti termasuk pengesan pergerakan badan dan pelbagai peranti elektronik.

Anggota kru, Jocelyn Dunn berkata, merasai hembusan bayu terus pada kulit adalah suatu perasaan yang menakjubkan.

“Kali pertama kami di luar, agak menakutkan tanpa pakaian angkasawan,” kata Dunn, 27, seorang pelajar ijazah doktor falsafah di Universiti Purdue, West Lafayette, Indiana.

Enam saintis keluar selepas menjalani eksperimen lapan bulan simulasi di Mars.
Enam saintis keluar selepas menjalani eksperimen lapan bulan simulasi di Mars.

Kubah tempat mereka menjalani simulasi di kawasan gunung berapi terpencil itu sangat sunyi manakala keadaan kedap udara mewujudkan persekitaran atmosfera sama seperti angkasa lepas.

Penyelaras kajian itu, Prof Kim Binsted dari Universiti Hawaii berkata, semua saintis hanya dapat menatap padang lahar dan gunung berapi pendam ketika pandangan mereka terarah ke luar tingkap kecil kubah itu.

Mengesan emosi dan prestasi kru dalam kawasan terasing mungkin membantu kru darat ketika misi masa depan untuk menentukan jika seseorang itu menjadi tertekan atau jika pasukan itu berdepan masalah komunikasi.

Menghabiskan tempoh lapan bulan dalam ruang tertutup bersama enam individu mempunyai cabaran tersendiri, namun anggota kru menghilangkan tekanan dengan melakukan senaman kumpulan atau yoga.

Mereka juga menggunakan mesin senaman yang dijana tenaga suria untuk berlari dan basikal pegun, namun hanya pada tengah hari serta ketika keadaan cerah.