6 strategi perkasa masyarakat

6 strategi perkasa masyarakat

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Jan – Warga Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan jabatan-jabatan di bawahnya menggalas tanggungjawab meluas yang memerlukan kesiapsiagaan perkhidmatan yang cemerlang selain meningkatkan kesejahteraan dan pembangunan sosioekonomi masyarakat inklusif dan seimbang.

Untuk itu, kementerian itu menggariskan enam strategi utama iaitu meningkatkan perkhidmatan kepada masyarakat, memantapkan perpaduan dan kesejahteraan, memelihara keselamatan masyarakat, penyediaan infrastruktur dan kemudahan awam, meningkatkan keupayaan sumber tenaga manusia dan memangkinkan perkembangan ekonomi.

Perkara itu disentuh oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong dalam Sesi Muzakarah bersama 18 Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang diadakan di kementerian itu hari ini.

Menurut Yang Berhormat Pehin lagi, KHEDN akan sentiasa memperbaiki dan mempertingkatkan prosedur penyampaian perkhidmatan kepada orang ramai agar sentiasa mesra pelanggan, relevan dengan keadaan semasa dan cekap serta responsif.

Beliau turut menekankan usaha mempertingkatkan hal ehwal ekonomi mukim dan kampung dengan meneliti dan memantapkan lagi Program Satu Kampung Satu Produk.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar mempengerusikan Muzakarah bersama Ahli-ahli MMN di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar mempengerusikan Muzakarah bersama Ahli-ahli MMN di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.

pg03_160115_bSelain itu, sesi muzakarah turut membincangkan mengenai berbagai-bagai cabaran dalam penempatan kerja anak-anak tempatan yang nisbahnya agak besar jurangnya dengan pekerja asing.

“Isu utama yang perlukan perhatian adalah peningkatan dalam peratus mereka yang berkelulusan dan jangkaan berbeza mengenai pencapaian kerja. Kementerian akan berusaha untuk memenuhi kehendak dan jangkaan mereka melalui peningkatan dalam pentadbiran buruh dan penempatan kerja yang profesional.

“Untuk itu, kementerian mewujudkan undang-undang dan peraturan yang dikemaskinikan serta menguatkuasakannya dengan berkesan agar Jabatan Buruh mampu melindungi kestabilan pasaran pekerja tempatan,” tambah Yang Berhormat Pehin.

Yang Berhormat Pehin turut menyentuh mengenai isu teknologi infokumikasi yang serba canggih dan kesan pembangunannya ke atas masyarakat terutamanya dalam perubahan dan mempercepatkan pelaksanaan pekerjaan dan aktiviti seharian.

KHEDN juga memperkenal beberapa perkhidmatan yang memudahkan lagi pelanggannya seperti perkhidmatan dalam talian Electronic Labour Exchange yang diperkenalkan Agensi Pekerjaan Tempatan dan Pembangunan Tenaga Kerja dan Labour Control System di Jabatan Buruh. Perkhidmatan ini bagi memastikan kecepatan dan kos berkesan kepada kementerian dan pelanggan.

Selain itu, Yang Berhormat Pehin juga menekankan mengenai keamanan, keharmonian, ketenteraman dan kesejahteraan masyarakat dengan langkah-langkah dan tindakan strategik dengan memantapkan keupayaan kementerian dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Contohnya, Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) telah pun mengadakan aktiviti pengurusan bencana sejajar dengan garispandu kebangsaan seperti Perintah Pengurusan Bencana 2006 dan banyak lagi.

Tidak ketinggalan juga dengan jenayah, kementerian telah mengunakan teknologi tinggi bagi pengesanan di pos-pos kawalan imigresen untuk menanggani masalah berkenaan, sebagai satu langkah pencegahan kepada beberapa ancaman jenayah di luar dugaan seperti jenayah bukan tradisi (non-traditional crimes) termasuklah penyeludupan manusia, pengedaran dadah, pendatang haram, ajaran agama sesat dan pengganasan dalam pelbagai bentuk yang dianggap boleh menggugat kestabilan negara.

Di akhir muzakarah, Yang Berhormat Pehin juga menyentuh mengenai usaha Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat yang diharapkan dapat melakukan transformasi dalam berbagai bidang termasuk mengukuhkan operasi mencari dan menyelamat, penggunaan perkakas dan jentera-jentera bomba dan keselamatan anggota-anggota bomba adalah di antara beberapa perkara yang telah diberi keutamaan oleh kementerian ini dalam menjaga kesejahteraan rakyat dan negara.

ARTIKEL YANG SAMA