6 suspek pembunuhan Bill Kayong ditahan

6 suspek pembunuhan Bill Kayong ditahan

MIRI, 1 Julai (Bernama) – Polis menahan enam suspek berkaitan pembunuhan Setiausaha PKR Cawangan Miri, Allahyarham Bill Kayong, yang ditembak mati di persimpangan lampu isyarat di Lutong pada 21 Jun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Dev Kumar M.M. Sree Shunmugam berkata suspek yang terdiri daripada lima lelaki dan seorang perempuan, berusia antara 22 dan 41 tahun, ditahan malam tadi dan pagi ini.

“Mereka kini direman tujuh hari untuk siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dev Kumar berkata pasukan petugas itu tidak dapat mendedahkan maklumat lanjut supaya tidak mengganggu siasatan polis.

Bill, 43, calon PKR kawasan Bekenu pada Pilihan Raya Sarawak ke-11 yang lalu, ditembak mati oleh individu tidak dikenali menggunakan senapang patah ketika berada di dalam kenderaan pikap Toyota Hiluxnya, di persimpangan lampu isyarat itu kira-kira 8:30 pagi, 21 Jun lepas.