6 tahanan Guantanamo pindah ke Oman

6 tahanan Guantanamo pindah ke Oman

WASHINGTON, 14 Jun (dpa) – Amerika Syarikat sudah memindahkan enam tahanan Teluk Guantanamo ke penjara di Oman, menurut Pentagon semalam.

Dengan langkah itu bermakna 116 lelaki masih lagi terdapat di pusat tahanan AS di Cuba.

Pentagon berkata ia berterima kasih kepada Oman kerana tindakan kemanusiaannya serta kesediaannya untuk menyokong usaha kerajaan untuk menutup Guantanamo.

Akhbar Washington Post berkata enam tahanan tersebut berasal dari Yaman dan sudah berada dalam penjara itu selama lebih 13 tahun.

Laman sesawang Wikileaks berkata dokumen tentera menunjukkan beberapa orang daripada lelaki tersebut berkhidmat sebagai pengawal peribadi Osama bin Laden sebelum 11 September 2011, serangan pengganas di New York dan Washington dan yang lain pernah menjadi pejuang militan di Afghanistan dan Pakistan.

Presiden Barack Obama mengisytiharkan sejurus selepas menjadi presiden pada 2009 bahawa beliau mahu menutup Guantanamo.

Bagaimanapun, beliau berdepan dengan bangkangan daripada Kongres dengan anggota politiknya menentang membawa para penghuninya ke Amerika Syarikat.

Sejak itu, Obama mencuba untuk mengosongkan Guantanamo dengan memindahkan para banduan terbabit ke luar negara, tetapi berdepan masalah untuk mencari negara yang sudi menerima mereka.