6 terima biasiswa

6 terima biasiswa

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Mei – Dengan hasrat untuk menabur bakti kepada negara dan membantu dalam perkembangan pertahanan negara khususnya, enam orang pelajar berjaya untuk mengambil langkah pertama mereka mencapai hasrat itu, apabila mereka dianugerahkan Biasiswa Kementerian Pertahanan 2016.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Menteri Pertahanan dan Pemerintah Tertinggi Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) telah mengurniakan titah perkenan bagi penganugerahan Biasiswa Kementerian Pertahanan bagi 2016 kepada enam orang penuntut cemerlang negara.

Daripada penerima biasiswa itu, empat orang dianugerahkan Skim Biasiswa Pemerintah Tertinggi Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan dua orang lagi diperkenankan untuk dianugerahkan Skim Biasiswa Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

Majlis Penandatanganan dan Penganugerahan Biasiswa bagi Penerima-penerima Biasiswa Kementerian Pertahanan 2016 telah diadakan di Dewan Kuliah, Institut Pengajian Pertahanan dan Strategik Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bolkiah Garison, hari ini.

Hadir menyaksikan penandatanganan perjanjian ialah Timbalan Menteri Pertahanan, Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz bin Haji Mohd Tamit.

Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz menyampaikan cenderahati kepada salah seorang penerima Biasiswa Kementerian Pertahanan 2016.
Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz menyampaikan cenderahati kepada salah seorang penerima Biasiswa Kementerian Pertahanan 2016.
Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz bergambar ramai dengan para penerima anugerah dan keluarga mereka pada akhir majlis itu.
Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz bergambar ramai dengan para penerima anugerah dan keluarga mereka pada akhir majlis itu.

Penerima-penerima Anugerah Skim Biasiswa Pemerintah Tertinggi ABDB ialah Awang Sarohakim bin Haji Mohamed Salim @ Sarohakim Goeting dari Sekolah Menengah Sayyidina Ali, Kuala Belait di mana beliau akan mengambil kursus Biomedical Engineering di University of Sheffield, United Kingdom; Dayang Lim Chai Tze dari Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan akan mengambil kursus Sains Bahan dan Kejuruteraan di Imperial College London, United Kingdom; Dayang Hong Zi Ling dari Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah akan mengambil kursus Kewangan dengan sub modul yang berkaitan dengan Undang-undang dan Kontrak serta sedang menunggu tawaran dari salah sebuah universiti terkemuka di dunia; dan Dayang Filzah Nadiah binti Dato Paduka Haji Mohd Hamid dari Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS) akan mengambil kursus Perubatan di Cardiff University, United Kingdom.

Sementara itu, penerima-penerima bagi Anugerah Skim Biasiswa ABDB ialah Dayang Noorhazimah Azma binti Abdul Aziz dari JIS yang akan mengambil kursus undang-undang dan beliau masih menunggu tawaran dari salah satu universiti terkemuka di dunia serta Awangku Mohd Amirrul Syafiq bin Pengiran Kasmirhan akan mengambil kursus Kejuruteraan Mekanikal dan adalah calon Akademi Ketenteraan Amerika Syarikat, Westpoint.

Pada majlis berkenaan, menandatangani bagi pihak Kementerian Pertahanan ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Pertahanan, Datin Paduka Hajah Suriyah binti Haji Umar dan menandatangani bagi pihak ABDB ialah Pemerintah ABDB, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah.

Sebelum majlis penandatanganan, Dayang Filzah Nadiah ketika ditemu bual Media Permata menyatakan perasaan gembira kerana diberikan kepercayaan dan dipilih sebagai salah seorang penerima biasiswa berprestij itu.

Baginya, peluang yang diberikan itu amat bermakna bukan sahaja beliau akan menaburkan bakti kepada negara sebagai seorang doktor apabila menamatkan pengajian nanti tetapi juga akan berkhidmat sebagai seorang pegawai tentera.

Penganugerahan ini, baginya, satu penghormatan yang amat tinggi kerana beliau bercita-cita menjadi seorang doktor pada usia muda lagi dan kini beliau mengambil langkah pertama ke arah mencapai cita-cita itu.

Sementara itu, Awangku Mohd Amirrul Syafiq berkata beliau amat berbesar hati kerana telah dianugerahkan biasiswa ABDB dan juga akan mengikuti pengajian di salah sebuah akademi ketenteraan terkenal di dunia.

Beliau berkata, selepas kembali daripada pengajiannya nanti, pengalaman yang diperoleh itu dipercayai akan dapat membantu bukan sahaja dirinya dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan tetapi juga untuk dikongsi bersama.

Bagi Dayang Hong Zi Ling, beliau berkata proses pemilihan bagi biasiswa itu amat mencabar di mana calon-calon semuanya berbakat tetapi melalui proses pemilihan yang dilaluinya, ia telah menjadikannya lebih berkeyakinan menempuh cabaran yang mendatang.

Menurutnya lagi, peluang untuk menabur bakti kepada negara merupakan satu peluang yang amat berharga.

ARTIKEL YANG SAMA