6 warga Bangladesh dihantar pulang

6 warga Bangladesh dihantar pulang

KUPANG, Indonesia, 10 Mac (AFP) – Enam penghijrah Bangladesh yang ditangkap memasuki perairan Australia oleh peronda sempadan negara telah dihantar pulang ke Indonesia menggunakan bot nelayan, kata pegawai Indonesia hari ini.

Tindakan tersebut menerima kritikan daripada kementerian luar negeri Indonesia, yang menekankan bantahannya terhadap dasar kontroversi Australia dan mengingatkan perbuatan sedemikian adalah berbahaya di laut. Keenam-enam lelaki dan dua kru Indonesia bertolak dari bandar timur Indonesia Kupang pada minggu lalu dalam perjalanan ke Australia.

Ketua polis perairan tempatan Teddy John Sahala Marbun berkata mereka sampai ke perairan Australia selepas berada di laut selama tiga hari tetapi menghadapi masalah enjin, dan diselamatkan oleh peronda sempadan Australia ketika bot mereka mulai tenggelam.

“Selepas belayar beberapa hari, kapal kastam Australia memasuki perairan Indonesia dan menyerahkan mereka kepada sebuah bot nelayan Indonesia,” beritahunya kepada AFP.

Gambar yang diambil di Kupang pada 8 Mac menunjukkan kapten bot warga Indonesia, Isai Rano (kiri) dan La Juma (kanan) anggota kru yang membawa enam rakyat Bangladesh telah ditangkap kerana memasuki perairan Australia. – AFP
Gambar yang diambil di Kupang pada 8 Mac menunjukkan kapten bot warga Indonesia, Isai Rano (kiri) dan La Juma (kanan) anggota kru yang membawa enam rakyat Bangladesh telah ditangkap kerana memasuki perairan Australia. – AFP

“Mereka memberikan minyak dan logistik lain kepada nelayan, dan meminta mereka supaya menghantar pulang lelaki ke Nusa Timur Tenggara (di timur Indonesia).”

Kru telah ditahan di Kupang dan mungkin menghadapi dakwaan penyeludupan orang, yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun. Kapten bot Isai Rano mengakui dia dibayar 92 juta rupiah untuk membawa enam warga Bangladesh ke Australia, kata Marbun. Pegawai Imigresen masih menyoal warga Bangladesh mengenai cara mereka memasuki Indonesia, sementara polis mencari tersangka lain yang mungkin terbabit.

ARTIKEL YANG SAMA