60 kapsul kokain dalam perut ditemui

60 kapsul kokain dalam perut ditemui

GEORGE TOWN, 6 Sept – Seorang lelaki rakyat Afrika Selatan ditahan dengan 60 kapsul kokain bernilai RM267,300 di dalam perutnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di sini.

Lelaki berusia 30 tahun yang memasuki negara ini sebagai pelancong itu ditahan pada pukul 9.30 pagi Sabtu lepas sebaik tiba dari Singapura.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Ghafar Rajab berkata mengikut jadual lelaki yang bekerja sebagai jurutera elektrik di negaranya itu, dia akan berada di negeri ini selama lima hari sebelum meneruskan perjalanan ke Bangkok, Thailand.

“Lelaki itu yang kali kedua memasuki negara ini dibawa ke Hospital Pulau Pinang selepas pemeriksaan awal ke atasnya, termasuk bagasi serta beg sandang yang dibawa, tidak menemukan sebarang bahan yang menyalahi undang-undang.

“Hasil ujian imbasan di hospital mendapati 60 kapsul disyaki dadah berada di dalam badan lelaki itu dan semua kapsul bersaiz lima sentimeter panjang serta bergaris pusat satu sentimeter itu berjaya dikeluarkan pada Ahad,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan ‘Dialog Industri Hospitaliti: Ancaman Keselamatan Daripada Militan’ di Batu Ferringhi, di sini hari ini. – Bernama