60 maut, 200 cedera angkara bom

60 maut, 200 cedera angkara bom

BAGHDAD, 13 Ogos – Sekurang-kurangnya 60 orang terbunuh dan 200 orang cedera dalam serangan bom hari ini ke atas sebuah pasar di daerah Bandar Sadr di Baghdad, menurut polis dan sumber-sumber perubatan, dalam salah satu serangan paling besar ke atas ibu negara sejak Perdana Menteri Haider al-Abadi memerintah dua tahun lepas.

Setakat ini belum ada mana-mana pihak yang mengaku bertanggungjawab melakukan serangan di kawasan kejiranan puak Syiah tersebut, tetapi kumpulan Negara Islam (IS) yang menawan sebahagian kawasan utara dan barat Iraq tahun lepas, kerap menghantar pengebom ke ibu negara.

“Sebuah trak yang dipenuhi bahan letupan diletupkan di bahagian dalam pasar Jamila pada sekitar pukul 6 pagi (0300 GMT),” kata pegawai polis Muhsin al-Saedi. “Ramai orang terbunuh dan banyak cebisan mayat kelihatan bertaburan di atas dan bumbung bangunan.”

Seorang saksi Reuters di kawasan kejadian melihat buah-buahan dan sayur-sayuran bercampur dengan darah mangsa. Pasar itu yang terletak di sub-bandar barat laut, adalah salah sebuah pasar borong makanan terbesar di ibu negara.

Abadi mula memerintah negara itu musim panas lepas berikutan kejatuhan wilayah utara Mosul kepada kumpulan IS, yang menyebabkan kerajaan Baghdad bergantung pada militia Syiah untuk mempertahankan ibu negara dan menawan semula wilayah berkenaan.

Pasukan keselamatan dan kumpulan militia pada masa ini memberikan tumpuan ke arah mengusir kumpulan pemberontak dari Anbar, kawasan majoriti kaum Sunni di barat Iraq. – Reuters

Orang ramai menyaksikan dari dekat kemusnahan akibat ketupan bom yang menyasarkan pasar vuah-buahan dan sayur-sayuran di daerah Bandar Sadr di utara Baghdad pada 13 Ogos 2015. – AFP
Orang ramai menyaksikan dari dekat kemusnahan akibat ketupan bom yang menyasarkan pasar vuah-buahan dan sayur-sayuran di daerah Bandar Sadr di utara Baghdad pada 13 Ogos 2015. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA