60 pelajar khatam dirai

60 pelajar khatam dirai

KUALA BELAIT, 2 Okt – Lebih 60 orang murid Sekolah Ugama Sungai Teraban dan Sekolah Ugama Perdana Wazir telah diraikan dalam Majlis Khatam Al-Quran yang berlangsung di Dewan Sekolah Menengah Perdana Wazir, di sini, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis yang juga menyempurnakan penyampaian sijil kepada murid-murid yang diraikan ialah Ketua Kampung Pandan B, Haji Abdul Malek bin Haji Abu Bakar.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh tetamu kehormat sebelum bacaan surah-surah lazim oleh para peserta khatam.

Doa Khatam pula dibacakan oleh wakil peserta khatam, Awangku Aminuddin Hasbullah bin Pengiran Sahpuddin, disusuli dengan dikir marhaban oleh murid-murid lelaki darjah 4 dan 5 sekolah agama berkenaan.

Majlis yang merupakan projek tahunan Jabatan Pengajian Islam itu antara lain bertujuan untuk menggalakkan murid-murid sekolah tersebut sentiasa mengamalkan pembacaan Al-Quran dengan betul dan lancar serta bagi memastikan mereka membaca Al-Quran 30 Juzuk sebelum menamatkan darjah 6 sekolah agama.

Projek tersebut juga merupakan salah satu program rancangan kedua-dua sekolah agama tersebut bagi tahun ini.

ARTIKEL YANG SAMA