60 pelajar lawat TAIB

60 pelajar lawat TAIB

pg01_160316_a

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Mac – Seramai 60 orang pelajar dari beberapa buah sekolah rendah di negara ini telah membuat lawatan dalam masa dua hari, ke Insurans Islam TAIB bagi acara Global Money Week 2016 di pejabatnya, di sini.

Lawatan yang dianjurkan oleh Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD), dengan kerjasama Jabatan Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan itu bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan penuntut tentang operasi syarikat insurans itu dan memperkenalkan sistem kewangan di Negara Brunei Darussalam secara menyeluruh.

Menurut kenyataan AMBD di sini, kelmarin, seramai 30 orang penuntut dari Sekolah Menengah Chung Hwa, Sekolah Rendah Beribi dan Sekolah Rendah Muda Hashim telah mengadakan lawatan ke institusi itu, manakala hari ini Insurans Islam TAIB telah menerima kunjungan daripada 30 orang penuntut dari Sekolah Rendah Raja Isteri Fatimah, Sekolah Rendah Ahmad Tajuddin dan Tinkerbell Learning School.

Ketika lawatan tersebut, para penuntut telah menerima taklimat ringkas mengenai latar belakang insurans/takaful, aktiviti harian Insurans Islam TAIB dan seterusnya melawat premis pejabat serta turut serta dalam kuiz dan permainan interaktif yang bertemakan ‘pengurusan wang’.

Sementara itu, seramai 160 lagi penuntut telah membuat lawatan ke Bank Baiduri, BIBD dan Galeri Matawang, AMBD semasa acara Global Money Week ini diadakan.

Global Money Week (GMW) merupakan satu acara bagi meningkatkan kesedaran mengenai kewangan yang disambut setiap tahun dan dianjurkan oleh pihak Child & Youth Finance International (CYFI).

Negara ini telah menyertai acara ini sejak dua tahun yang lalu, diketuai oleh pihak Kementerian Pendidikan dan Tabung Amanah Pekerja (TAP).

ARTIKEL YANG SAMA