60 pelajar sertai Program Immersion terima sijil

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 11 Ogos – Seramai 60 orang terdiri daripada para pelajar Tahun 5, 6 dan 11 dari beberapa buah sekolah rendah dan maktab, di sini, telah menerima sijil penyertaan Program Immersion Sekolah-sekolah Kluster 6 2017 (SID) yang berlangsung di Dewan Serba Guna Sekolah Rendah Muhammad Alam, hari ini.

Pelajar-pelajar berkenaan adalah dari Sekolah Rendah Pengiran Setia Negara (PSN) Pengiran Mohd Yusof, Sekolah Rendah Pengiran Setia Jaya (PSJ) Pengiran Abdul Momin, Sekolah Rendah Muhammad Alam dan Maktab Anthony Abell.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil berkenaan ialah Ketua Kluster 6, Dayang Asmah binti Haji Tengah yang turut dihadiri guru-guru serta pemimpin di sekolah-sekolah berkenaan.

Sijil-sijil berkenaan juga diserahkan kepada para pelajar daripada 19 buah sekolah yang terlibat memberikan kerjasama dalam program tersebut.

Dayang Asmah dalam ucapannya menyatakan, Program Immersion selama seminggu itu walaupun agak pendek, namun ianya telah memberikan peluang yang berguna kepada para pelajar yang menyertainya, di mana pihak penganjur telah menyasarkan penyertaan 60 pelajar Tahun 5 dan 6 sekolah rendah dan Tahun 11 bagi sekolah menengah serta melibatkan 19 orang guru yang telah memberikan sokongan dan kerjasama sepenuhnya sebagai guru dan pemimpin sekolah masing-masing.

Dayang Asmah semasa menyaksikan pameran mini disediakan oleh pelajar-pelajar yang menyertai Program Immersion.
Dayang Asmah semasa menyaksikan pameran mini disediakan oleh pelajar-pelajar yang menyertai Program Immersion.

“Saya gembira kerana pelajar-pelajar melahirkan rasa seronok mereka menyertai program ini dan mendapati program itu amat memperkaya pengetahuan dan pengalaman serta berpeluang menemui rakan-rakan sebaya yang baru seterusnya dapat memahami budaya belajar dan mengajar dalam keadaan persekitaran yang baru,” katanya.

Beliau seterusnya berharap Program Immersion itu akan dapat diteruskan pada masa akan datang dengan melibatkan lebih banyak kerjasama antara guru-guru Kluster 6 dari sekolah kerajaan dan juga sekolah swasta.

Pada majlis tersebut, Dayang Asmah juga meluangkan masa menyaksikan pameran-pameran mini yang telah disediakan oleh empat buah sekolah kerajaan yang telah mengambil bahagian dalam Program Immersion itu.

Acara kemuncak bagi majlis tersebut ialah persembahan mengenai aktiviti yang telah dilakukan di sepanjang program tersebut daripada pelajar-pelajar Sekolah Rendah PSJ Pengiran Abdul Momin dan Maktab Anthony Abell dan pameran-pameran mini daripada sekolah-sekolah kerajaan yang terlibat dalam program itu.

Program Immersion, anjuran Kluster 6 Jabatan Sekolah-sekolah Daerah Belait telah menghantar pelajar-pelajar daripada sekolah yang dipilih untuk menjalani pembelajaran di sekolah-sekolah swasta seperti Sekolah Menengah Chung Hua, Sekolah St John, Sekolah St James dan Sekolah St Margaret Seria selama lima hari bermula 20 Mei lalu.

Program tersebut antara lain bertujuan untuk meninjau, belajar dan menyerapkan budaya positif pembelajaran para pelajar di sekolah-sekolah swasta, terutama sekali dari segi motivasi, semangat bersaing secara positif, kemahiran berkomunikasi dan persiapan-persiapan bagi peperiksaan awam PSR atau BCGCE ‘O’ Level.

Di samping itu, ia juga bertujuan untuk meningkatkan pengalaman dari segi pengetahuan dan kemahiran belajar mata pelajaran daripada guru-guru dan pelajar di sekolah swasta, selain menyediakan peluang dan potensi bagi pelajar untuk berkongsi pengalaman bersama rakan sebaya, serta membina komuniti pembelajaran melalui rangkaian media sosial dan mengukuhkan hubungan profesional dalam kalangan guru-guru sekolah-sekolah swasta dan kerajaan.

Sepanjang program tersebut, para pelajar telah mengikut jadual yang disediakan di sekolah swasta dan menghadiri kelas-kelas tambahan begitu juga acara-acara yang diadakan di sekolah tersebut.

Program itu juga membolehkan guru-guru Sekolah St Margaret dan Maktab Anthony Abell bertukar-tukar pengalaman mengajar dan berkongsi sumber-sumber berguna dalam pengajaran.