60 sertai Perkhemahan EXL

60 sertai Perkhemahan EXL

TEMBURONG, 8 Sept – Sempena cuti penggal persekolahan kali ini, Sekolah Rendah (SR) Beribi Telanai, baru-baru ini, telah mengadakan Perkhemahan ‘Educate, X-plore & Leadership’ (EXL) yang berlangsung selama tiga hari di Kampung Negalang, Temburong.

Perkhemahan pada 4 hingga 6 September lalu itu disertai oleh 60 orang yang terdiri daripada guru-guru, ibu bapa, kakitangan sekolah, belia-belia Kampung Bunut, murid-murid Tahun 4 dan 5 SR Beribi Telanai serta dua orang murid bersama ibu mereka dari SR Panaga Seria.

Perkhemahan berkenaan diungkayahkan untuk mengasah sikap kepimpinan dan jati diri, memupuk sikap kerohanian murid dengan melakukan solat berjemaah serta kerja amal seperti membersihkan masjid, mendisiplinkan diri serta memupuk kerjasama dalam setiap aktiviti perkhemahan.

Ia juga dianjurkan untuk mengintegrasikan aktiviti perkhemahan dengan mata pelajaran seperti matematik, Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, sains, kajian sosial, MIB dan agama selain itu, ia juga bagi memperkenalkan sosiobudaya kehidupan penduduk Temburong khususnya puak Murut dan Iban, melahirkan generasi yang menghargai khazanah budaya tradisional Brunei di samping mengenali kekayaan dan keindahan alam semula jadi di Daerah Temburong.

Perkhemahan tersebut telah dirasmikan oleh Pegawai Daerah Temburong, Haji Abdul Hamid bin Dato Paduka Haji Abdullah selaku tetamu kehormat.

Para peserta sedang memancing ikan.
Para peserta sedang memancing ikan.
Tetamu Kehormat merasmikan tapak perkhemahan.
Tetamu Kehormat merasmikan tapak perkhemahan.
Para guru, ibu bapa dan murid-murid bergambar ramai sebelum meninggalkan tapak perkhemahan.
Para guru, ibu bapa dan murid-murid bergambar ramai sebelum meninggalkan tapak perkhemahan.

Ketibaan tetamu kehormat ke tapak perkhemahan yang dimiliki Mejar (B) Sigar bin Apoi, yang juga bekas pengarah Pasukan Petugas Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), telah dialu-alukan oleh Pengurus Perkhemahan EXL, Dayang Masnah binti Haji Idris.

Sepanjang perkhemahan itu, pelbagai kegiatan telah diadakan sesuai dengan tujuannya seperti menanam padi, memancing, melawat rumah panjang, mini sukan dan sebagainya.