60 warga KSSUP dirai

60 warga KSSUP dirai

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Jan – Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-68 tahun, seramai 22 orang pegawai dan kakitangan di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) dan jabatan-jabatan di bawahnya telah menerima Pingat Kerja Lama dan 38 orang lagi yang telah bersara pada tahun 2013-2014 menerima sijil perkhidmatan.

Majlis yang berlangsung di Dewan Setia Pahlawan KSSUP, hari ini, itu dihadiri oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali bin Haji Apong selaku tetamu kehormat majlis.

Turut hadir ialah Pemangku Setiausaha Tetap di KSSUP, Awang Wardi bin Haji Mohammad Ali dan Timbalan Setiausaha Tetap di KSSUP, Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid, ketua-ketua jabatan, para pegawai kanan dan jemputan yang lain.

Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan ketika menyampaikan sijil kepada salah seorang kakitangan yang bersara.
Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan ketika menyampaikan sijil kepada salah seorang kakitangan yang bersara.
Antara yang hadir pada majlis tersebut.
Antara yang hadir pada majlis tersebut.

Majlis didahului dengan penyampaian sijil dan pingat yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis, diikuti dengan Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad S.A.W tahun 1437 Hijrah bagi kementerian berkenaan sempena memperingati Hari Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W.

Majlis sambutan tersebut diserikan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Awang Mohd Zukrina bin Haji Daimon dan ceramah yang disampaikan oleh Timbalan Rektor UNISSA, Dr. Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad.

Majlis juga dimeriahkan dengan persembahan Dikir Syarafil Anam oleh pasukan dikir daripada Jabatan Perhutanan dan Jabatan Perikanan serta diakhiri dengan bacaan doa selamat bagi memohon keberkatan.

ARTIKEL YANG SAMA