600 sertai World’s Largest Lesson

600 sertai World’s Largest Lesson

Oleh Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Sept – Buat kali keduanya, Brunei tahun ini menyertai ‘World’s Largest Lesson’ bersama negara-negara lain sebagai inisiatif untuk menyebarluaskan dan berkongsi maklumat mengenai Matlamat Pembangunan Global Mapan 2015-2030 kepada pelajar-pelajar.

Sekolah Menengah Sayyidina Husain, Jerudong merupakan antara sekolah yang menyertai inisiatif berkenaan pada tahun ini dengan melibatkan lebih 600 orang pelajar Tahun 9 hingga 11.

‘World’s Largest Lesson’ mempunyai 17 matlamat utama iaitu tiada kemiskinan, tiada kelaparan, kesihatan baik, pendidikan berkualiti, air bersih, tenaga mampu dimiliki dan bersih, dan banyak lagi yang akan dapat mencapai tiga perkara luar biasa iaitu untuk membasmi kemiskinan, mengatasi ketidaksamaan dan ketidakadilan serta memperbetulkan perubahan iklim pada 15 tahun yang akan dating.

Dalam program ini, Sekolah Menengah Sayyidina Husain telah memilih ‘kesihatan yang baik’ sebagai matlamat utama global, yang bertujuan bagi mewujudkan kesedaran tentang pentingnya kesihatan kepada para pelajar.

Para pelajar yang ikut serta program ‘World’s Largest Lesson’ pagi kelmarin di Sekolah Menengah Sayyidina Husain, Jerudong.
Para pelajar yang ikut serta program ‘World’s Largest Lesson’ pagi kelmarin di Sekolah Menengah Sayyidina Husain, Jerudong.

Antara aktiviti yang dijalankan termasuk berjalan kaki atau berjoging, pemeriksaan kesihatan seperti menimbang berat badan, mengetahui ketinggian, BMI, tekanan darah dan seterusnya menyaksikan video serta pameran makanan berkhasiat.

Setiap aktiviti dikendalikan oleh beberapa jabatan di sekolah itu seperti Jabatan Pendidikan Jasmani, Geografi, Travel & Tourism, Sains, Agriculture, Food & Nutrition, English, Bahasa Melayu, MIB, Sastera, Pengetahuan Ugama Islam, Jabatan Matematik, Business Studies, Sejarah dan Jabatan Program Khas. Projek ini turut disokong dan dibimbing oleh Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Sekolah-sekolah.