60,000 maut dalam penjara Syria semasa perang

60,000 maut dalam penjara Syria semasa perang

BEIRUT, 22 Mei  (AFP) – Sebuah kumpulan pemantau hari ini mengatakan sekurang-kurangnya 60,000 orang mati dalam penjara kerajaan Syria semasa konflik lima tahun.

Pegawai kerajaan Syria tidak dapat dihubungi untuk ulasan mengenai laporan oleh Syrian Observatory for Human Rights itu yang memetik sumber dalam aparatus keselamatan bagi angka kematian. Kerajaan menolak laporan serupa pada masa lalu.

“Tidak kurang daripada 60,000 tahanan dibunuh…sama ada akibat penyeksaan tubuh secara langsung atau dinafikan makanan dan ubat-ubatan,” kata badan pemerhati itu dalam satu kenyataan bertulis semalam.

Pengarah Observatory, Rami Abdulrahman mengatakan ia mengeluarkan jumlah itu selepas penambahan jumlah kematian yang disediakan oleh sumber-sumber dalam beberapa buah penjara Syria dan agensi-agensi keselamatan.

Menurutnya, lebih daripada 20,000 daripada mereka mati di penjara Sednaya berhampiran Damsyik. Observatory mengatakan ia dapat mengesahkan kematian 14,456 orang, 110 daripadanya berusia bawah 18 tahun semenjak bermulanya kebangkitan Syria dalam 2011.

Abdulrahman mengatakan sumber-sumbernya adalah pegawai berkhidmat yang berusaha untuk mendedahkan apa yang berlaku, dan Observatory sudah pun mengumpulkan maklumat itu semenjak awal tahun ini.

Penyiasat PBB dalam Februari mengatakan banduan ditahan oleh kerajaan Syria dibunuh dalam skala besar-besaran.

“Kami tahu sejumlah besar orang mati dalam tahanan di Syria,” kata timbalan pengarah bahagian Timur Tengah dan Afrika Utara di Human Rights Watch, Nadim Houry melalui temu bual telefon.

“Satu-satunya cara untuk mengesahkan jumlah yang dipersoalkan itu adalah untuk membenarkan pemantau bebas ke dalam pusat-pusat tahanan,” tambahnya.