600,000 pil Eramin 5 bernilai RM9j dirampas

600,000 pil Eramin 5 bernilai RM9j dirampas

SHAH ALAM, 20 Mei (Bernama) – Polis Selangor merampas 600,000 biji pil Eramin 5 bernilai RM9 juta dan menahan seorang lelaki tempatan di Teluk Gong, Klang pada Rabu.

Ketua Jabatan Siasatan Narkotik (JSJN) Selangor ACP Amran Ramli berkata suspek yang berumur dalam lingkungan 30-an ditahan pada 11.10 pagi hasil risikan pihaknya sejak dua bulan lepas.

Lelaki itu ditahan ketika dia memberhentikan kenderaan Toyota Vellfire yang dipandunya di tepi sebuah jalan di Teluk Gong. “Hasil pemeriksaan terhadap kenderaan itu, polis menemukan 600,000 pil Eramin 5 yang disembunyikan di dalam 60 kotak kecil yang dianggarkan seberat 169.2 kilogram.

“Selepas ditahan, suspek membawa polis ke sebuah rumah di Ampang. Hasil pemeriksaan, polis turut merampas dua kenderaan iaitu Toyota Camry dan Nissan X-Trail serta wang tunai RM15,000 bagi membantu siasatan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

ACP Amran Ramli (tiga, kiri) menunjukkan dadah jenis Erimin 5 yang dirampas daripada seorang lelaki warga tempatan pada sidang akhbar di Pusat Media, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, kelmarin. – Bernama
ACP Amran Ramli (tiga, kiri) menunjukkan dadah jenis Erimin 5 yang dirampas daripada seorang lelaki warga tempatan pada sidang akhbar di Pusat Media, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, kelmarin. – Bernama

Amran berkata suspek dipercayai menyeludup masuk dadah itu dari luar negara menggunakan kontena untuk pasaran tempatan terutama di Lembah Klang.

“Suspek yang aktif melakukan kegiatan ini sejak dua bulan lepas, tidak mempunyai rekod jenayah lampau. Dia sedang disiasat sama ada mempunyai rakan-rakan atau rangkaian sindiket dadah lain yang terlibat dengan rampasan itu,” katanya.

Suspek direman tujuh hari sehingga Rabu depan untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.