606 calon STAR ditemu duga

606 calon STAR ditemu duga

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Nov – Seramai 606 daripada 674 calon telah layak untuk ditemu duga bagi kemasukan pelajar-pelajar baru Skim Tilawah Al-Quran Remaja (STAR) pengambilan ke-20 sesi 2017-2018.

Temu duga tersebut diadakan di seluruh negara bermula hari ini dan bagi Daerah Brunei dan Muara, ia akan dijalankan selama empat hari iaitu setiap hari Jumaat dan Ahad sehingga 20 November bermula jam 8 hingga 11 pagi bertempat di Sekolah Ugama Beribi, Gadong.

Keramaian pemohon-pemohon yang ditemu duga bagi Daerah Brunei dan Muara ialah seramai 531 orang, Daerah Tutong seramai 23 orang, Daerah Belait seramai 36 orang, manakala di Daerah Temburong ialah seramai 16 orang. Setiap daerah juga mengadakan temu duga yang sama secara serentak.

Menurut Pegawai Pelajaran, Unit Tilawah Al-Quran, Bahagian Pelajaran Lanjutan Jabatan Pengajian Islam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Japar bin Haji Brahim semasa ditemu bual memberitahu bahawa sebanyak lima kumpulan ditemu duga dalam Kategori Alif dan Ba dan di dalam kategori tersebut ia dipecahkan lagi kepada kumpulan A, B, C, D dan E yang merangkumi 27 peserta dalam setiap satu kumpulan.

Ahli jawatankuasa menilai salah seorang peserta dari segi bacaan Murattal dan lagunya.
Ahli jawatankuasa menilai salah seorang peserta dari segi bacaan Murattal dan lagunya.
Peserta menjalankan latihan sebelum giliran untuk dinilai.
Peserta menjalankan latihan sebelum giliran untuk dinilai.

“Setiap peserta dinilai dari bacaan Murattal dan pembacaan berlagu yang akan dinilai oleh ahli jawatankuasa di bawah JPI.

“Skim ini adalah bertujuan untuk melatih dan membimbing remaja dalam pembacaan Al-Quran melalui lagu-lagu tilawah yang masyhur,” tambahnya.

Beliau juga berharap bahawa skim seumpama ini akan dapat melahirkan pembaca-pembaca Al-Quran remaja yang berpotensi untuk dijadikan sebagai pelapis Qari dan Qariah negara ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

STAR yang mula ditubuhkan pada tahun 1997 ini merupakan skim yang dikendalikan oleh JPI bagi melahirkan remaja yang berpotensi dalam bidang pembacaan Al-Quran secara berlagu.

ARTIKEL YANG SAMA