6,090 bungkus rokok seludup bernilai RM60,970 dirampas

SANDAKAN, 12 Nov – Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan mematahkan aktiviti penyeludupan rokok selepas berjaya merampas 6,090 bungkus barangan tersebut yang bernilai RM60,970 dalam dua serbuan di daerah ini pada semalam dan hari ini. Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Mohd Yazib Abdul Aziz berkata pihaknya telah membuat dua serbuan berasingan dalam tempoh 9 jam.

Katanya dalam serbuan pertama semalam kira-kira jam 9.30 malam, anggota PPM telah  membuat intipan aktiviti penyeludupan di kawasan Jalan Labuk Jaya Batu 7.

Beliau berkata pihaknya telah mengesan sebuah kenderaan disyaki membawa rokok seludup sebelum mengekori kenderaan itu sehingga berhampiran perhentian bas di kawasan tersebut.

“Pihaknya kemudian memperkenalkan diri sebagai polis dan cuba memintas tetapi pemandu kenderaan itu telah memberhentikan kenderaannya secara tiba-tiba di bahu jalan sebelum pemandunya melarikan diri ke dalam semak berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan. – Bernama