61 kes kebakaran rumah, bangunan telah dicatatkan

61 kes kebakaran rumah, bangunan telah dicatatkan

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Jun – Sebanyak 61 kes kebakaran rumah dan bangunan telah dicatatkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat sepanjang bulan Januari hingga Mei 2016.

Statistik ini dikongsikan oleh Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Awang Yahya bin Haji Abdul Rahman semasa berucap pada Majlis Penyampaian Bungkusan sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini kepada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat yang berlangsung di Dewan Serba Guna Jabatan Bomba dan Penyelamat, di sini, pagi ini.

Menurut beliau lagi, sepanjang bulan Syawal 1436 Hijrah yang lalu, sebanyak 10 kes kebakaran rumah dan bangunan telah berlaku yang mana punca kebakaran adalah penyalahgunaan peralatan elektrik (tujuh kes) dan selebihnya berpunca daripada masakan yang ditinggalkan, kanak-kanak bermain api dan hos gas (LPG) yang longgar atau bocor.

“Oleh yang demikian, kita perlu meningkatkan kesiapsiagaan kita kerana risiko-risiko kemalangan dan kebakaran adalah tinggi. Di masa yang sama, kita juga berharap program-program kesedaran awam dalam keselamatan kebakaran yang kita jalankan selama ini akan mengurangkan trend berbahaya ini,” katanya lagi.

Semasa majlis penyampaian bungkusan yang disempurnakan oleh Awang Yahya.
Semasa majlis penyampaian bungkusan yang disempurnakan oleh Awang Yahya.

Menyentuh mengenai kebakaran hutan dan rumput semasa, beliau berkata bahawa dari bulan Januari hingga Mei 2016, sebanyak 916 panggilan kes kebakaran hutan diterima dan sebanyak 339 kes kebakaran rumput yang berpunca daripada pembakaran terbuka hingga merebak disebabkan oleh perbuatan mereka yang tidak bertanggungjawab yang pastinya menjadi satu cabaran bagi semua anggota bomba yang terlibat dalam memadamkan kebakaran hutan gambut yang telah memusnahkan banyak hutan simpan di negara ini.

Dengan berakhirnya musim kering, ujar beliau lagi, Negara Brunei Darussalam pada masa ini telah mula mengalami Monsun Barat Daya, di mana keadaan cuaca yang sering berlaku termasuk kejadian jerebu merentas sempadan serta hujan berangin ribut sekali sekala dan angin kencang selaju 40 kmsj dan ke atas yang boleh menyebabkan pokok-pokok tumbang, atap terbang serta banjir kilat semasa hujan lebat setempat.

“Manakala semasa kejadian jerebu merentas sempadan, jarak pandangan bagi pengguna-pengguna jalan raya akan berkurangan. Statistik kemalangan jalan raya pada bulan Syawal 1436 hijrah yang lalu, jabatan telah menerima sebanyak 13 panggilan kecemasan dan melibatkan lima korban jiwa,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyarankan anggota bomba dan penyelamat agar sentiasa peka dan siap siaga dalam menghadapi apa jua keadaan kecemasan dan cuaca dengan menitik beratkan aspek keselamatan masing-masing dalam menjalankan kerja-kerja operasi dengan memakai peralatan dan pakaian keselamatan yang telah disediakan untuk mengelakkan terjadinya sebarang kemalangan atau kecederaan semasa beroperasi.

ARTIKEL YANG SAMA