617 orang terima pingat kehormatan

617 orang terima pingat kehormatan

Oleh Pg Fairol RMF

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Mei – Seramai 617 orang lagi menerima pingat pada hari kedua Pengurniaan Pingat-pingat Kehormatan Negara Brunei Darussalam sempena Hari Keputeraan Baginda Sultan di Balai Singgahsana Indera Kencana, Istana Nurul Iman, pagi tadi.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri selaku wakil peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat mengurniakan pingat-pingat kehormatan berkenaan.

Berangkat sama, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik; Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz; Menteri-menteri Kabinet, timbalan menteri, pengiran-pengiran peranakan dan pehin-pehin manteri.

Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Mahkota berkenan mengurniakan pingat kepada salah seorang penerima.
Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Mahkota berkenan mengurniakan pingat kepada salah seorang penerima.

Pada hari ini, para penerima terdiri daripada 54 orang penerima Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K) antaranya 39 lelaki dan 15 perempuan, dan 563 orang penerima Pingat Indah Kerja Baik (P.I.K.B) antaranya 256 orang penerima lelaki dan 307 orang penerima perempuan.

Para penerima pingat terdiri daripada kakitangan Kementerian Kesihatan, Kementerian Pembangunan, Kementerian Perhubungan, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Unit Simpanan Gurkha serta kakitangan sektor swasta.

Majlis berakhir dengan bacaan doa selamat oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

ARTIKEL YANG SAMA