618 pelajar LCB tamat pengajian

618 pelajar LCB tamat pengajian

Oleh Siti Nur Wasimah S.

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Ogos – Seramai 618 orang graduan dari Kolej Perdagangan Laksamana (LCB), hari ini, diraikan dalam Majlis Tamat Pengajian yang berlangsung di Songket Ballroom, Hotel Antarabangsa Rizqun, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil pada sesi pagi ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman.

Manakala pada sesi petang, hadir bagi menyempurnakan penyampaian sijil ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar.

Turut hadir ialah Pengarah LCB, Haji Suhaimei bin Haji Awang Besar; Pengetua dan Pengarah LCB, Ian Pirie dan Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Negara Brunei Darussalam, David Campbell.

Ian Pirie semasa menyampaikan ucapannya menyatakan, LCB sehingga kini telah mempersiapkan 3,600 orang pelajar tempatan dan juga antarabangsa dengan peluang-peluang untuk melanjutkan pengajian mereka di Negara Brunei Darussalam dengan tawaran yang berpatutan dan tempat pengajian yang selesa.

Awang Mohd Matiin ketika ditemui oleh Media Permata.
Awang Mohd Matiin ketika ditemui oleh Media Permata.

Majlis kemudian diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi dan David Campbell yang kemudiannya menyempurnakan penyampaian sijil kepada para graduan.

Salah seorang graduan semasa ditemui, Awang Mohd Matiin bin Mohammad, jurusan Diploma Tertinggi Kebangsaan Pengkomputeran dan Sistem Pembangunan, melahirkan perasaan gembira dan setinggi-tinggi penghargaan khususnya terhadap keluarga beliau yang tidak henti-henti memberikan sokongan dan dorongan sepanjang pengajian beliau.

Beliau juga berharap untuk meneruskan lagi pengajian ke luar negara untuk ke peringkat seterusnya.Awang Mohd Matiin seterusnya menyeru kepada para graduan lain dan juga belia-belia muda di negara ini untuk tidak berputus asa dan bersikap tekun dalam meneruskan usaha mereka dalam meraih kejayaan yang diingini di masa akan datang.

Sementara itu, seorang lagi graduan, Awang Muhammad Azizan Akmal bin Haji Matali daripada jurusan Universiti Kursus Asas menyatakan bahawa pada masa ini, beliau sedang meneruskan lagi pengajiannya ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Perdagangan di LCB.

Awang Muhammad Azizan Akmal juga melahirkan perasaan gembira kerana telah berjaya menamatkan pengajian beliau dan berharap akan dapat terus berjaya di masa akan datang di dalam bidang yang beliau ceburi agar dapat memberikan kebanggaan kepada keluarganya.

ARTIKEL YANG SAMA