62 kakitangan BIBD terima sijil IFP

62 kakitangan BIBD terima sijil IFP

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Nov – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) yakin kedudukannya sebagai sebuah institusi kewangan di Negara Brunei Darussalam akan lebih kukuh ekoran bertambahnya jumlah kakitangan bertauliah institusi kewangan itu.

Perkembangan itu sekali gus membolehkan BIBD memberikan perkhidmatan berkualiti, sejajar dengan hasratnya untuk turut menyumbang kepada Wawasan 2035 Negara Brunei Darussalam iaitu melahirkan rakyat Brunei yang berjaya, berpendidikan dan berkemahiran setaraf dengan piawaian antarabangsa.

Keyakinan itu disuarakan oleh Ketua Pegawai Kewangan merangkap Timbalan Pengarah Urusan BIBD, Hajah Noraini binti Haji Sulaiman, pada majlis penyampaian sijil kepada 62 kakitangan BIBD yang mengikuti Program Perancang Kewangan Islam (IFP) dan Program Risiko Kredit Korporat, yang berlangsung di Royal Berkshire, Royal Brunei Polo and Riding Club Jerudong, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Setia Raja Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Suhaili bin Haji Mohiddin, selaku Pengerusi Badan Penasihat Syariah BIBD.

Majlis itu bagi meraikan kumpulan ketiga seramai 22 kakitangan BIBD dan kumpulan pertama seramai 10 orang kakitangan Syarikat Takaful Brunei yang menerima Sijil IFP serta kumpulan kedua seramai 30 kakitangan yang menerima sijil ekoran penyertaan mereka dalam Kursus Program Risiko Kredit Korporat.

Tetamu kehormat (duduk di tengah) bergambar bersama para kakitangan BIBD yang tamat mengikuti program selama lapan bulan itu.
Tetamu kehormat (duduk di tengah) bergambar bersama para kakitangan BIBD yang tamat mengikuti program selama lapan bulan itu.

Hajah Noraini berkata, program IFP bertujuan untuk mengembangkan lagi kepakaran dan kemahiran kakitangan BIBD dalam perancangan dan pengurusan kewangan.

Dengan meningkatnya kemahiran tersebut, BIBD berharap akan dapat menyediakan khidmat dan produk kewangan Islam yang lebih berinovatif dan berkualiti.

“Ini adalah bagi menyokong hasrat kami untuk memenuhi permintaan masyarakat yang semakin meningkat, terutama dalam perancangan pengurusan kewangan yang lebih terurus dan sistematik,” jelas beliau.

Ujarnya lagi, Program Risiko Kredit Korporat adalah bagi meningkatkan lagi kemahiran mereka dalam membuat analisis dan penilaian kredit, yang mana perkhidmatan tambah nilai itu akan meningkatkan lagi kebolehan pihak bank tersebut untuk membuat penilaian profil risiko-pulangan dan menstruktur pembiayaan-pembiayaan yang lebih mantap.

Beliau turut mengucapkan syabas kepada para graduan kerana menyahut cabaran itu dan memberikan komitmen serta sepenuh tumpuan kepada program yang diikuti, di samping menjalankan tugas harian mereka.

Katanya, institusi kewangan seperti BIBD akan seterusnya memainkan peranan penting untuk meningkatkan kesedaran dan mendidik orang ramai mengenai kecelikan dan pengurusan kewangan, budaya berjimat dan bidang keusahawanan.

Sebelum mengakhiri ucapannya, Hajah Noraini turut mengucapkan terima kasih kepada Institut Kewangan dan Perbankan Islam Malaysia (IBFIM) yang mengendalikan Program IFP serta Fitch Learning kerana mengendalikan Program Risiko Kredit Korporat selama lapan bulan itu.

ARTIKEL YANG SAMA