63 warga KHEU terima sijil tamat kursus

Oleh Nurdiyanah R.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Dis – Seramai 63 orang pegawai dan kakitangan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) telah menerima sijil setelah mengikuti Kursus Marsyal Bomba dan Pertolongan Cemas CPR dan AED pada majlis yang berlangsung di Dewan Multaqa, Bangunan Baru KHEU, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis sekali gus menyampaikan sijil-sijil kepada para peserta kursus ialah Setiausaha Tetap di KHEU, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yusof.

Kursus yang dianjurkan oleh KHEU itu antara lain berobjektif untuk melatih para pegawai dan kakitangan kementerian menjadi lebih tenang dalam bertindak setiap masa apabila berlakunya suatu kemalangan, kecederaan dan kehilangan nyawa sekali gus dapat mengurangkan risiko yang boleh mengakibatkan perkara-perkara yang tidak diingini berlaku.

Ketua Unit Kesihatan, Keselamatan, Sekuriti dan Alam Sekitar (HSSE), KHEU, Haji Jefri bin Haji Mohd Salleh dalam ucapan alu-aluannya selaku pengerusi majlis menyatakan bahawa seramai 28 orang pegawai dan kakitangan KHEU telah menerima sijil bagi Kursus Marsyal Bomba yang telah dijalankan selama tiga hari pada 20 hingga 22 November lalu dikendalikan oleh jurulatih-jurulatih dari Jabatan Bomba dan Penyelamat, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN).

“Selain dari mengikuti sesi teori dan praktikal di Jabatan Bomba dan Penyelamat, para peserta kursus juga dikehendaki mengikuti latihan kecemasan pengosongan bangunan atau evakuasi,” jelas beliau.

Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta pada majlis tersebut.
Antara peserta yang menerima sijil bagi Kursus Marsyal Bomba dan Pertolongan Cemas CPR dan AED.

Seramai 35 orang pula telah menerima sijil bagi Kursus Asas Pertolongan Cemas CPR dan AED yang telah dilaksanakan selama empat hari pada 27 hingga 30 November lalu.

“Dengan adanya sesi teori dan pratikal melalui kedua-dua kursus ini, ia mampu memberikan para peserta segala pengetahuan dan kemahiran dalam menangani situasi kecemasan dan juga dapat menanamkan nilai-nilai tertentu untuk keberkesanan dalam menjalani tugasan harian seperti menerapkan nilai disiplin, pengurusan masa, kerja berpasukan dan sebagainya” tambah beliau lagi.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) di KHEU, Awang Roslan bin Haji Taja’ah; pegawai-pegawai kanan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat, KHEDN, para peserta Kursus Marsyal Bomba dan Pertolongan Cemas CPR dan AED dan ahli-ahli Jawatankuasa KHEU.

Kursus Marsyal Bomba dan Pertolongan Cemas CPR dan AED merupakan aktiviti tahunan yang dilaksanakan oleh KHEU dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat, KHEDN.

Kursus-kursus berkenaan adalah sebagai langkah awal ke arah mencapai hasrat untuk memastikan setiap jabatan, bahagian, unit, sekolah, masjid, surau dan balai ibadat di bawah kawalan KHEU mempunyai pegawai yang bertanggungjawab mengenai HSSE dan begitu juga pakar dalam marsyal bomba dan pertolongan kecemasan agar segala perkara yang tidak diingini dapat dibanteras dengan lebih efektif dan efisien.