630 kes kemalangan dicatatkan

630 kes kemalangan dicatatkan

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Ogos – Sebanyak 630 kes kemala-ngan termasuk satu kes yang melibatkan kematian telah dicatatkan oleh Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas (JSKLL), Pasukan Polis Diraja Brunei bagi bulan Jun dan Julai 2016.

Daripada jumlah itu, sebanyak 333 kes dilaporkan pada bulan Jun dan 297 lagi pada Julai lalu.

Statistik yang dikeluarkan oleh JSKLL, di sini, hari ini, juga menunjukkan bahawa Daerah Brunei dan Muara mencatatkan jumlah kemalangan yang tertinggi iaitu sebanyak 234 kes pada Jun dan 193 kes pada Julai, diikuti Daerah Belait sebanyak 62 kes bagi bulan Jun dan 65 kes termasuk satu yang melibatkan kematian pada bulan Julai.

Daerah Tutong pula mencatatkan 31 kes bagi bulan Jun dan 37 kes bagi bulan Julai, manakala, Daerah Temburong mencatat enam kes bagi Jun dan dua kes bagi bulan Julai.

JSKLL dalam kenyataannya turut memaklumkan bahawa sebanyak 772 kes pelbagai kesalahan lalu lintas telah direkodkan melalui operasi-operasi penguatkuasaan lalu lintas dalam tempoh dua bulan berkenaan melalui iaitu sebanyak 425 kes bagi bulan Jun dan 347 bagi bulan Julai.

Daripada jumlah berkenaan, JSKLL Gadong mencatatkan 308 kes dalam 22 operasi bagi bulan Jun dan 184 kes dalam 20 operasi bagi Julai, manakala itu, JSKLL cawangan Batu 3, Belait merekodkan 117 kes dalam 12 operasi bagi Jun dan 163 kes juga dalam 12 operasi bagi Julai.

Statistik JSKLL menunjukkan, bagi bulan Jun sebanyak 399 daripada kesalahan yang dicatatkan adalah kes kompaun dan 26 lagi kes doket dengan kesalahan terbanyak yang dicatatkan bagi bulan itu adalah memandu melebihi had laju yang ditetapkan iaitu sebanyak 188 kes.

Bagi bulan Julai pula, sebanyak 309 kesalahan adalah kes kompaun dan 38 lagi kes doket, dengan kesalahan tertinggi memandu melebihi had laju yang ditetapkan sebanyak 168 kes.

Sehubungan itu, Pasukan Polis Diraja Brunei menekankan kepada para pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang lalu lintas di negara ini.

Di samping itu, sentiasa meningkatkan keselamatan di jalan raya serta berhati-hati ketika berada di jalan raya terutamanya dalam keadaan cuaca yang tidak menentu.

 

ARTIKEL YANG SAMA