638 pelajar Kolej IGS tamat pengajian

638 pelajar Kolej IGS tamat pengajian

Oleh Salawati Haji Yahya

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Ogos – Seramai 638 orang pelajar Kolej Pengajian Siswazah Antarabangsa (Kolej IGS) telah berjaya menamatkan pengajian mereka dalam jurusan Perniagaan dan Teknologi Maklumat dan menerima sijil masing-masing pada Majlis Konvokesyen Kolej IGS 2016, di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan penyampaian sijil kepada para graduan yang diraikan ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman.

Berangkat pada majlis itu ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pangiran Anak Puteri Hajah Amal Jefriah. Anakanda Yang Teramat Mulia iaitu Nurul Amal Kahirunnina Athirah binti Pengiran Sura Negara Pengiran Anak Haji Muhammad Bey Muntassir merupakan salah seorang graduan Kolej IGS yang diraikan pada majlis tersebut.

Pada majlis itu, 116 orang daripada graduan berkenaan menerima Ijazah Sarjana Muda, 73 penerima Diploma Lanjutan (HND), 260 orang menerima Diploma dan 189 orang lagi graduan menerima sijil kemahiran.

Ketua Pegawai Eksekutif Kolej IGS, Pengiran (Dr.) Hajah Fatimah binti Pengiran Setia Jaya Pengiran Haji Abdul Momin semasa menyampaikan ucapan berkata, pada majlis itu terdapat empat jenis anugerah disampaikan dan buat julung kalinya kolej berkenaan merasa bangga dengan pencapaian pelajar di peringkat Ijazah Sarjana Muda dengan menganugerahkan kelas pertama.

Tetamu kehormat menyampaikan sijil kepada para graduan.
Tetamu kehormat menyampaikan sijil kepada para graduan.

pg08_160812_h

Anugerah ini, katanya, adalah selaras dengan aspirasi pengasas Kolej IGS untuk memberi sumber inspirasi dan galakan kepada belia tempatan untuk mencapai prestasi cemerlang dalam pelbagai aspek pembelajaran dan kegiatan luar akademik.

Beliau seterusnya menjelaskan, sejak pembiayaan skim dibuka oleh kerajaan Baginda Sultan, ternyata daripada jumlah kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi swasta telah dapat memberikan peluang kepada anak tempatan dan penduduk tetap untuk meneruskan pengajian mereka di peringkat yang lebih tinggi.

“Secara tidak langsung, skim ini amat bermakna kepada anak-anak tempatan untuk mengikuti pengajian dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dalam negeri secara menyeluruh dalam menyumbang hasrat menjana modal insan yang berkualiti selaras dengan matlamat Wawasan Brunei 2035,” tambahnya.

Bagaimanapun, tambah beliau, dengan proses transformasi sistem pendidikan di akhir ini, bagi memenuhi keperluan dan cabaran perkembangan pembangunan ekonomi dan sosial Abad ke-21, selain daripada pengelolaan pelbagai program selaras dengan perkembangan industri di institusi kerajaan dan pembiayaan melalui skim yang terhad telah menjejaskan kemasukan pelajar ke IPTS secara menyeluruh.

Bukan setakat itu, proses pembangunan insan dan negara juga mengalami perubahan demi perubahan dan mengikut keperluan pasaran keran dalam usaha untuk memartabatkan sistem pendidikan sebagai agen ke arah pembangunan masyarakat dan negara.

Dalam perkara ini, beliau percaya dalam mempersiapkan belia dalam dunia yang semakin kompetitif dan berteraskan ilmu pengetahuan ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035, rangkaian kerjasama secara bersepadu antara institusi kerajaan dan TPTS perlu di perkukuhkan secara rakan kongsi dengan mengendalikan pelbagai program selaras dengan strategi sistem pendidikan.

Beliau juga menjelaskan, di samping mengekalkan program yang bertaraf antarabangsa, Kolej IGS juga melaksanakan program peringkat sijil kemahiran secara kolaborasi dengan Universiti Malaysia Sabah dan sedang dalam proses berurusan dengan institusi yang bertaraf antarabangsa, di samping membentuk program yang tersendiri untuk mempelbagaikan perkembangan pendidikan bagi mengujudkan sumber tenaga manusia yang berkemahiran mengikut pergolakan semasa dan permintaan pasaran kerja.

Dari tahun 2004 hingga kini, Kolej IGS telah berjaya melahirkan 2,690 orang graduan dari peringkat sijil kemahiran, Diploma, Diploma Lanjutan hingga ke peringkat Ijazah Sarjana Muda.

Melalui kajian yang dibuat pada suku akhir tahun 2015 dan suku pertama 2016, dari tahun 2004 hingga 2015, 75 peratus daripada jumlah keseluruhan graduan telah mendapat tawaran bekerja di sektor kerajaan, swasta dan membantu ibu bapa menguruskan perniagaan keluarga.

Sementara itu, selebihnya, 20 peratus sedang mencari pekerjaan dan melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi di dalam dan luar negara.

Hasil kajian juga menunjukkan program yang ditawarkan di kolej berkenaan adalah selaras dengan keperluan industri bagi graduan yang telah dikeluarkan oleh kolej berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA