64 orang anak yatim dirai

64 orang anak yatim dirai

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Julai – Sebagai inisiatif mereka untuk membantu anak-anak yatim dalam membuat persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang, Jawatankuasa Anak-Anak Muda Persatuan IKERAB Kampung Bunut Perpindahan buat kali ke-4 telah mengadakan majlis penyampaian derma kepada seramai 63 orang anak yatim.

Hadir selaku tetamu ke-hormat dan menyempurnakan penyampaian sumbangan ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Zakaria bin Haji Serudin. Turut hadir ialah Penghulu Mukim Kilanas, Haji Abdullah bin Haji Halus serta belia dan beliawanis Kampung Bunut Perpindahan dan sebahagian penduduk sekitarnya.

Pengerusi majlis, Pengiran Haji Wahab bin Pengiran Haji Ibrahim dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan, majlis ini diadakan buat kali ke-4 dengan kali ini meraikan seramai 63 orang anak yatim.

Menurutnya lagi, pada tahun ini jumlah derma terkumpul adalah sebanyak $12,577 yang telah diagihkan kepada anak-anak yatim yang diraikan.

Haji Zakaria menyampaikan sumbangan derma kepada anak-anak yatim yang diraikan.
Haji Zakaria menyampaikan sumbangan derma kepada anak-anak yatim yang diraikan.
Haji Zakaria dan Penghulu Mukim Kilanas semasa menghadiri majlis tersebut.
Haji Zakaria dan Penghulu Mukim Kilanas semasa menghadiri majlis tersebut.

Antara tujuan majlis ini ialah bagi membantu meringankan beban anak-anak yatim membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri dan juga membantu menghilangkan kesedihan mereka meraikan bulan Syawal tanpa orang tua mereka.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai dan seterusnya diserikan dengan bacaan ayat suci Al-Quran oleh seorang anak yatim yang diraikan, Awang Mohd Nazirul Mubin.

Kemudian, majlis turut diselitkan dengan ceramah bertajuk ‘Tazkirah Sifat Sabar’ disampaikan oleh salah seorang beliawanis kampung berkenaan, Dayang Siti Anisah binti Haji Osman. Setelah itu diikuti dengan bacaan doa arwah dan tahlil sebelum diakhiri dengan majlis bersungkai bersama anak-anak yatim kampung berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA